Mangsa maut digilis, rupanya suspek dikehendaki

0
2
KAMPAR 23 APRIL 2019. Sidang media Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim mengenai penemuan tulang di Gua Kandu. NSTP/EFFENDY RASHID

MANGSA kemalangan maut digilis di lebuh raya PLUS, arah selatan, Gopeng awal pagi tadi adalah suspek yang dikehendaki bagi kecurian motosikal di Kedah.

Ketua Polis Daerah Kampar, Superintendan Hasron Nazri Hashim, berkata mangsa dilaporkan mencuri motosikal itu di Alor Janggus, Alor Setar, semalam.

Katanya, semakan juga mendapati mangsa ialah suspek kes pecah rumah di Alor Setar pada 11 Oktober dan di Kuala Kedah pada 12 Oktober.

“Suspek juga dikehendaki dalam kes Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana merosakkan pagar Masjid Kubang Siam yang berlaku semalam,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.

Dalam kejadian jam 3.35 pagi tadi, sebuah kereta dipercayai melanggar motosikal mangsa di Kilometer (km) 295.8 berdekatan susur keluar Tol Gopeng.

Hasron Nazri berkata, mangsa adalah lelaki berusia 40 tahun berasal dari Terengganu.

Katanya, siasatan awal mendapati motosikal mangsa terbabas sendiri tanpa melanggar apa-apa objek sebelum dia jatuh dan digilis kereta serta kenderaan lain yang tidak dikenalpasti.

“Mangsa maut di tempat kejadian kerana diseret sejauh lebih kurang 200 meter dari tempat kejadian.

“Motosikal dijumpai di lorong kecemasan lebih kurang satu km dari tempat kejadian.

“Kes diklasifkasikan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. -Malaysiapost