SULTAN Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah Alhaj menzahirkan takziah terhadap semua mangsa dan waris keluarga tragedi tanah runtuh di tapak perkhemahan Fathers’ Organic Farm di Batang Kali.
Menerusi kenyataan di Facebook Selangor Royal Office, Baginda dan Tengku Permaisuri Selangor, Tengku Permaisuri Norashikin terkejut dan berdukacita dengan tragedi yang meragut banyak nyawa itu.
“Baginda dan Tengku Permaisuri Norashikin rasa amat sedih dan simpati serta berkenan mengutus ucapan takziah kepada semua mangsa dan waris keluarga yang terlibat,” demikian perutusan takziah itu.
Semalam, negara dikejutkan dengan kejadian tanah runtuh di tapak perkhemahan berhampiran Father’s Organic Farm, Batang Kali.
Sehingga malam tadi, seramai 21 mangsa terkorban.
Pasukan penyelamat kini meneruskan usaha pencarian bagi mencari 12 lagi mangsa yang masih hilang. – Malaysiapost

