BEKAS Setiausaha Majlis Syura Ulamak PAS, Datuk Dr Mohd Khairuddin Aman Razali memuji tindakan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang turun ke Kelantan bagi meninjau keadaan banjir di negeri itu.
Beliau berkata, ternyata Timbalan Perdana Menteri itu tidak melupakan Kerajaan Kelantan walaupun mempunyai perbezaan fahaman politik.
“Timbalan Perdana Menteri (Zahid) tidak melupakan Kerajaan Kelantan meskipun berbeza fahaman politik kerana Muafakat Nasional mengikat dau parti PAS dan Umno,” katanya menerusi Facebook.
Menurut Khairuddin lagi, Ahmad Zahid sebelum ini menyatakan komitmen tinggi bahawa khidmat kepada rakyat adalah lebih penting melangkaui parti.
“Muafakat Nasional ini belum dirungkai secara rasmi. Isnin lepas beliau (Zahid) sebut kepada saya – ‘kita perlu melangkaui parti meskipun pembangkang apabila melibatkan khidmat kepada rakyat’.
“Semalam beliau terjemahkan kata-kata tersebut dengan turun ke Kelantan dan mengumumkan peruntukan banjir bersama Kerajaan Negeri Kelantan demi rakyat. InsyAllah Budaya politik perpaduan dan damai menjadi amalan,” katanya.
Khairuddin berkata demikian merujuk tindakan kerajaan meluluskan peruntukan segera berjumlah RM12 juta untuk mengatasi masalah banjir termenung di Rantau Panjang, Kelantan.
Semalam, Ahmad Zahid mengumumkan peruntukan itu yang melibatkan pembelian enam pam berkuasa tinggi untuk menyedut keluar air dari kawasan yang terkesan dengan banjir termenung.
Timbalan Perdana Menteri dalam lawatan kerja meninjau keadaan banjir di Kelantan semalam, turut melawat ke pusat pemindahan sementara (PPS) Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh. – Malaysiapost

