Belum ada keperluan PKPD di Taiping – MB Perak

0
2

KERAJAAN Perak melihat belum ada keperluan untuk melaksanakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Taiping walaupun mukim itu kini diisytiharkan sebagai Zon Merah penularan Covid-19.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, berkata keputusan itu hasil mesyuarat khas Jawatankuasa Keselamatan Negeri Perak ke-6 hari ini berdasarkan penularan wabak di Pusat Tahanan Koreksional (KEMTA) Kamunting, Taiping.

Beliau berkata, jawatankuasa itu mendapati penularan jangkitan Covid-19 terkawal kerana hanya membabitkan satu blok yang dikhaskan kepada tahanan yang berisiko sahaja.

“Sebagai langkah kawalan risiko jangkitan kepada pegawai, selain anggota dan keluarga mereka, pihak pengurusan KEMTA juga memperketatkan prosedur penugasan anggota di premis terbabit.

“Bilangan anggota dikhususkan untuk bertugas di blok berkenaan juga dihadkan dan mereka diwajibkan memakai Peralatan Pelindung Peribadi (PPE) semasa bertugas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Ahmad Faizal berkata, usaha memutuskan rantaian penularan dalam kawasan KEMTA giat dilaksanakan pihak pengurusan dengan kerjasama Hospital Taiping dan Pejabat Kesihatan Daerah.

Selain itu, katanya pengurusan KEMTA memastikan tiada sebarang kontak antara anggota bertugas dengan tahanan, manakala pergerakan keluar masuk tahanan dihentikan bagi mengelakkan penularan baharu.

“Setakat hari ini tiada penambahan kes positif baharu dalam Kluster Batu. Justeru, rakyat khususnya penduduk di kawasan sekitar Kamunting dan Taiping dinasihatkan tidak panik dan tidak menyebarkan maklumat tidak sahih.

“Kerajaan negeri menyeru orang ramai terus mengamalkan disiplin norma baharu bagi mengekang penularan Covid-19 dalam kalangan komuniti,” katanya. -Malaysiapost