Fitri Nizam
PRESIDEN PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menggesa semua pihak untuk menghentikan krisis politik dan polemik yang melanda negara ketika ini.
Beliau berkata, krisis yang timbul akibat permainan politik dan polemik ketika ini hanya akan merugikan seluruh umat khususnya rakyat Malaysia.
Justeru, beliau mengajak semua pihak untuk membuktikan bahawa agama Islam boleh menjadi petunjuk dan penyelamat kepada semua.
“Hentikan krisis politik dan polemik yang merugikan umat.
“Turun ke padang dunia, buktikan bahawa Islam boleh menjadi petunjuk dan penyelamat kepada semua manusia,” katanya ringkas menerusi laman Twitter, hari ini.
Ciapan itu dipercayai merujuk kepada situasi semasa politik negara yang kian meruncing bermula dengan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang mendakwa memiliki majoriti lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan.
Justeru, Yang di-Pertuan Agong berkenan menitahkan Presiden PKR itu menghadap di Istana Negara pada 13 Oktorber lalu, tetapi Anwar dilaporkan hanya memberikan jumlah Ahli Parlimen namun tidak menyenaraikan identiti mereka untuk menyokong dakwaannya.
Susulan itu, mesyuarat Biro Politik Umno kemudian mengumumkan sedang mempertimbangkan semula sokongan mereka terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) dengan memberikan syarat yang perlu dipenuhi. -Malaysiapost

