Noh Omar, Zuraida antara 30 Ahli Dewan Tertinggi MN

0
2

MUAFAKAT Nasional (MN) hari ini mengumumkan 30 Ahli Dewan Tertinggi pertubuhan berkenaan yang terdiri daripada ahli politik, selebriti tanah air, ahli akademik dan aktivis.

Antara yang diumumkan menjadi Ahli Dewan Tertinggi MN adalah, bekas Ahli Parlimen Tanjong Karang, Tan Sri Noh Omar; bekas Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin serta bekas Ahli Parlimen Alor Gajah, Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof dipilih sebagai Ahli Dewan Tertinggi Muafakat Nasional (MN).

Tidak ketinggalan artis tanah air, Datuk Jamal Abdillah dan dua pelakon terkenal, Datuk Seri Eizlan Yusof dan Ummi Nazeera turut disenaraikan menganggotai Dewan Tertinggi MN.

Presiden NGO MN, Tan Sri Annuar Musa berkata, pertubuhan itu juga menyenaraikan dua ahli akademik iaitu pakar Perlembagaan, Prof Madya Shamrahayu A Aziz dan pendakwah terkenal, Mohd Ridhuan Tee Abdullah.

Menurut beliau, kesemua mereka merupakan antara 30 personaliti Dewan Tertinggi MN.

Selain itu, kata Annuar, Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dr Mohd Zuhdi Marzuki dan aktivis, Cikgu Izzat Johari turut disenaraikan.

Menurut Annuar, Setiausaha Agung PAS, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, bekas Ahli Parlimen Bachok, Nik Abduh Nik Abdul Aziz dan bekas Ahli Parlimen Kuala Nerus, Datuk Khairuddin Aman Razali turut berdaftar sebagi ahli.

Annuar berkata, sejak pendaftaran mula dibuka pada minggu lepas, MN sudah menerima hampir 20,000 permohonan setakat semalam.

Katanya, walaupun sambutan dilihat menggalakkan namun beliau menegaskan MN tidak akan masuk ke dalam kancah politik dan akan kekal sebagai Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO).

Sementara itu, Annuar berkata, gerakan itu turut mendapat sokongan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad.

“Saya bertemu beliau semalam. Saya dapat mengatakan Tun Dr Mahathir memberikan sokongan yang kuat kepada MN.

“Tun Dr Mahathir turut lahirkan kebimbangan beliau tentang kedudukan orang Melayu dan berkata, usaha untuk kebaikan negara dan orang Melayu, beliau akan sokong,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here