Annuar sudah beri keterangan kepada SPRM

0
1

TAN Sri Annuar Musa mengesahkan sudah memberi keterangan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan Perikatan Nasional (PN) memberi jutaan ringgit kepada Umno ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah.

Beliau berkata, SPRM telah menghubungi beliau minggu lalu berhubung dakwaan tersebut.

Bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh yang dipecat daripada parti baru-baru ini berasa lega kerana dapat memberi keterangan kepada SPRM berhubung isu itu.

Katanya, isu yang ditimbulkan di media sosial merupakan satu fitnah dan tidak berasas.

“Saya sudah pun memberikan kenyataan kepada SPRM minggu lepas. Saya sebenarnya sangat lega kerana sekali lagi fitnah yang di luar itu tidak dapat saya kawal.

“Dia kata saya masuk bilik tidur duit berlonggok-longgok, ambil duit berjuta-juta bawa duit ke mana. Patutlah kuat sokong (Tan Sri) Muhyiddin (Yassin)kerana Muhyiddin beri duit.

“Buka Facebook masya-Allah, beristighfar saya tiap-tiap hari. Jadi bila SPRM panggil saya beri keterangan. Saya sangat-sangat suka hati dan saya telah beritahu jalan cerita sebenar yang telah lalui,” katanya seperti dilapor MalaysiaGazette.

Beliau berkata demikian dalam sidang media berhubung pemecatan beliau sebagai ahli Umno serta penubuhan bandan bukan kerajaan (NGO) Muafakat Nasional (MN), hari ini.

Annuar berkata, beliau akan terus memberikan kerjasama kepada SPRM kerana ia menjadi tanggungjawabnya untuk berbuat demikian.

Media sebelum ini melaporkan SPRM sedang menyiasat dakwaan Annuar berhubung dakwaan Muhyiddin memberi Umno jutaan ringgit bagi membantu parti itu ketika PRN Sabah pada 2020.

Pada 21 November lalu, menerusi video di TikTok Annuar mendakwa Muhyiddin menemuinya di Sabah untuk memberikan ‘berpuluh juta’ ringgit.

Kenyataan bekas Ahli Parlimen Ketereh itu menimbulkan persoalan di media sosial dari mana datangnya wang tersebut itu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here