USUL undi tidak percaya Perdana Menteri yang dibawakan Ahli Parlimen Gua Musang Tengku Razaleigh Hamzah adalah tindakan peribadi, kata Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan.
Beliau berkata, Umno tidak berhasrat mengemukakan usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Malah, menurutnya perkara itu tidak pernah dibincangkan dalam mana-mana mesyuarat Umno sebelum ini.
“Tidak ada. Umno tidak pernah mempunyai hasrat untuk membuat usul berkenaan terhadap Perdana Menteri.
“Tindakan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah yang mahu usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri dibahaskan di Dewan Rakyat, adalah tindakan peribadi beliau dan UMNO tidak terbabit,” katanya seperti dilaporkan Berita Harian.
Media sebelum ini melaporkan Tengku Razaleigh mahu usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat.
Pejabat Ahli Parlimen Gua Musang itu turut mendedahkan terdapat surat ditulis pada 25 September lalu kepada Yang Dipertua Dewan Rakyat, merujuk kepada usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin yang dikemukakan Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir Mohamad. -Malaysiapost

