Bukan waktu sesuai cipta krisis – Wan Saiful

0
1

DUA ahli politik veteran yang sekian lama mengidamkan jawatan Perdana Menteri cuba mencipta krisis ketika Tan Sri Muhyiddin Yassin bersungguh-sungguh menjaga kebajikan dan nasib rakyat, kata Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan.

Beliau berkata, terdapat juga oportunis yang mengambil kesempatan membawa undi tidak percaya kepada Perdana Menteri itu.

“Saya faham ada ahli politik tertentu yang memang mahu merebut kuasa politik tetapi sekarang bukan waktu untuk berkelakuan sebegitu.

“Sepatutnya kita memerangi Covid-19 dengan mewujudkan kesatuan politik rentas parti bukan mencipta pepecahan untuk faedah peribadi.

“Bersatu menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong menasihati rakyat khususnya ahli politik supaya bermuhasabah supaya negara tidak sekali lagi diheret ke kancah politik tidak menentu,” katanya dalam kenyataan.

Wan Saiful berkata, fokus ahli politik sepatutnya adalah kebajikan rakyat, bukan berebut jawatan atau sengaja merosakan kestabilan dan ekonomi.

“Semua pihak sepatutnya menjaga kesatuan ummah yang wujud hari ini.

“Rakyat memerhati dan menilai orang politik mana yang mahu menjuarai nasib mereka dan orang politik mana yang mahu membolot kuasa untuk menjaga diri sendiri,” katanya. -Malaysiapost