PULAU Pinang akan menjadi benteng utama untuk perpaduan rakyat Malaysia dan mempertahankan Rukun Negara serta Perlembagaan Persekutuan, kata Pengerusi DAP Lim Guan Eng.
Ahli Parlimen Bagan yang juga bekas Ketua Menteri Pulau Pinang itu menegaskan, Pakatan Harapan (PH) dan DAP akan mempertahankannya daripada dirampas Perikatan Nasional (PN).
“Terima kasih kepada ahli-ahli DAP, sukarelawan dan penyokong yang telah menyumbang masa dan usaha untuk menghalang kemaraan PN dari menguasai Pulau Pinang.
“Bagan menjadi kubu setelah Kepala Batas, Tasek Gelugor dan Permatang Pauh jatuh. Kita bukan sahaja berjaya menaikkan majoriti malah semua lawan kita hilang deposit,” katanya dalam satu hantaran di Facebook, hari ini.
Beliau berkongsi mengenai majlis sambutan susulan kemenangan PH di Parlimen Bagan dan berjaya membentuk kerajaan di Putrajaya.
“Malam ini (tadi) kita menyambut kemenangan kita di Bagan dan Putrajaya. Namun kita harus terus mempertahankan Pulau Pinang.
“Pihak lawan menggunakan racun ekstremisme dan perkauman untuk memecahbelahkan kita. Malaysia milik semua warganegara dan mereka perlu dilindungi, bukan dihukum.
“Kita perlu menghalang mereka ini dari merampas masa depan anak-anak kita untuk mewarisi kesejahteraan, keadilan dan Malaysia yang bersih yang mendaulatkan undang-undang, menghormati kemuliaan insan dan menjunjung kebenaran,” katanya.
Pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) 19 November lalu, Guan Eng berjaya mengekalkan penguasaannya di Parlimen Bagan bagi penggal keempat selepas memperoleh 43,538 undi, menewaskan tiga calon lain. – Malaysiapost

