Kesenjangan luar bandar semakin kritikal – Ahmad Zahid

0
3
Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi

KESENJANGAN ekonomi antara kawasan bandar dan luar bandar yang melebar tahun demi tahun memerlukan langkah drastik dan radikal dilakukan agar kawasan luar bandar Malaysia tidak terus ketinggalan.

Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata isu berkenaan semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

Beliau berkata, isu kesenjangan, penerokaan potensi ekonomi dan peningkatan taraf hidup luar bandar akan menjadi keutamaan dan fokusnya di Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).

Ahmad Zahid yang juga Timbalan Perdana Menteri berkata, pembangunan luar bandar di Malaysia bukan bertujuan membandarkan wilayah atau kawasan luar bandar dan bukan proses urbanisasi.

“Tetapi memastikan luar bandar mencapai tahap kemajuan sesuai dengan acuan kemajuan ukuran standard yang ditetapkan oleh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam melestarikan pembangunan desa.

“Dengan kata lain proses modenisasi dalam konteks cara berfikir, mengurus hal ehwal ekonomi yang progresif dan sesuai dengan keperluan semasa,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, ukuran kejayaan pembangunan luar bandar bukan berasaskan kepada pencakar langit, bangunan mega, jalan raya bertingkat-tingkat atau kawasan perumahan yang sesak dan padat, sebaliknya mempunyai fokus dan dimensi tersendiri.

Beliau berkata, melihat kepada angka-angka statistik ekonomi dan demografi luar bandar Malaysia, ia agak mencemaskan termasuk ramai penduduk kawasan bandar berhijrah ke luar bandar sejak 10 tahun kebelakangan ini.

“Ini adalah angka yang menggalakkan kerana dengan penghijrahan penduduk kembali ke luar bandar, bermakna pengalaman kerja, kemahiran dan ekonomi yang lebih inovatif yang diterokai di bandar dapat dibawa ke luar bandar

“Ini sepatutnya dapat meningkatkan limpahan ekonomi dan peluang di kawasan luar bandar, tetapi nampaknya tidak dengan ekonomi luar bandar tetap memperlihatkan kesenjangan yang amat tinggi antara kawasan bandar dan luar bandar,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, berdasarkan data terkini pada 2019, pendapatan penengah isi rumah luar bandar adalah RM 3,828 berbanding RM6,561 bagi kawasan bandar.

“Secara perbandingan mudah, bagi setiap RM100 yang diraih penduduk di bandar, penduduk luar bandar hanya mampu meraih sebanyak RM58.

“Tahun 2019 juga merekodkan kadar kemiskinan yang tinggi di kawasan luar bandar sebanyak 12.4 peratus berbanding kadar kemiskinan keseluruhan Malaysia iaitu 5.6 peratus,” katanya.

Beliau berkata, kesenjangan itu terus melebar tahun demi tahun hingga meminggirkan penduduk luar bandar daripada kebejatan ekonomi negara yang didorong kemajuan bandar.

“Data ini tidak mengambil kira tahun 2020 ke atas yang mana kita tahu kesan ekonomi disebabkan wabak Covid-19 jauh lebih membarah. Ini adalah sesuatu yang semakin kritikal dan tidak boleh dibiarkan tenat.

“Sesuatu yang drastik dan radikal perlu dilakukan daripada sekarang jika tidak mahu kawasan luar bandar Malaysia terus ketinggalan,” katanya.

Ahmad Zahid berkata, beliau akan menggembleng tenaga dan kudrat kementerian serta agensi-agensinya untuk bersama-sama menyelesaikan segala isu berkaitan desa di Malaysia sepantas yang mungkin.

“Insya-Allah, saya akan mengemukakan pelan tindakan dan KPI Kementerian dalam masa terdekat,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here