Bung, Zizie fail rayuan di Mahkamah Rayuan 

0
3

AHLI Parlimen Kinabatangan Datuk Seri Bung Moktar Radin dan isteri, Datin Seri Zizie Izette memfailkan rayuan di Mahkamah Rayuan selepas Mahkamah Tinggi menolak rayuan untuk mencabar arahan Mahkamah Sesyen yang meminta pasangan itu membela diri atas tuduhan rasuah dan bersubahat.

Timbalan Pendakwa Raya Law Chin How berkata pasangan itu memfailkan notis rayuan kepada pendaftar Mahkamah Tinggi, salinannya kemudian dihantar kepada pihak pendakwaan, lapor FMT. 

Notis itu difailkan di Mahkamah Tinggi bagi membolehkan pendaftar menyediakan rekod rayuan untuk kedua-dua pihak.

Jumaat lalu, Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan bantahan awal pihak pendakwaan bahawa adalah salah Bung dan Zizie memfailkan rayuan, disokong dengan afidavit, bagi meminta keputusan Hakim Rozina Ayob disemak.

Pihak pendakwaan berkata, pasangan itu hanya menghantar sekeping surat kepada Azhar bagi meminta keputusan itu disemak semula.

Timbalan Ketua Menteri Sabah itu didakwa atas dua tuduhan menerima rasuah berjumlah RM2.2 juta dan RM262,500 ketika beliau menjadi Pengerusi Felcra.

Beliau didakwa menerima wang berkenaan sebagai dorongan untuk mendapatkan kelulusan Felcra bagi membuat pelaburan berjumlah RM150 juta dalam unit amanah Public Mutual pada Jun 2015.

Manakala Zizie pula berdepan tiga tuduhan bersubahat dengan Bung.

Law berkata, kes pembelaan dijadual bermula di Mahkamah Sesyen pada 3 Januari tahun hadapan kerana Bung dan Zizie tidak memfailkan sebarang permohonan untuk menangguhkan prosiding sementara menunggu keputusan Mahkamah Rayuan. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here