PARTI Pejuang Tanahair (Pejuang) memutuskan untuk membawa usul undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.
Ketua Penerangan Penaja Pejuang, Dr Maszlee Malik, berkata kelima-lima ahli parlimen parti itu akan membawa usul berkenaan pada sesi Dewan Rakyat tidak lama lagi.
Maszlee berkata, keputusan itu diambil berikutan kegagalan Perdana Menteri mentadbir kerajaan sewaktu pandemik Covid-19 dan juga keraguan terhadap bilangan majoriti yang dipunyai beliau.
“Kelima-lima ahli parlimen Pejuang yang telah menghantar usul undi tidak percaya tersebut kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat adalah Ahli Parlimen Langkawi, Ahli Parlimen Jerlun, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Ahli Parlimen Kubang Pasu dan Ahli Parlimen Seri Gading,” katanya dalam kenyataan.
Mereka adalah Ahli Parlimen Langkawi, Tun Dr Mahathir, Ahli Parlimen Jerlun, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, Ahli Parlimen Kubang Pasu, Datuk Amiruddin Hamzah, Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik dan Ahli Parlimen Sri Gading, Datuk Dr Shahruddin Md Salleh.
Difahamkan, surat berkenaan dihantar pada kepada Yang di-Pertua Dewan Rakyat, Datuk Azhar Azizan Harun, semalam.
Sementara itu, menerusi Facebook Amiruddin berkata, usaha itu demi menjunjung prinsip mengembalikan mandat rakyat dalam Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14).
“Solidariti atas sebuah kerajaan yang tidak kompeten dan stabil. Bagaikan telur di hujung tanduk,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Ahli Parlimen Gua Musang, Tengku Razaleigh Hamzah mahu usul undi tidak percaya terhadap Muhyiddin dibahaskan di Dewan Rakyat. -Malaysiapost

