Steven Sim mahu lupa sengketa lama dengan Ahmad Maslan

0
2

TIMBALAN Menteri Kewangan yang baharu dilantik, Steven Sim Chee Keong mahu melupakan sengketa dengan rakan sejawatannya, Datuk Seri Ahmad Maslan.

Ahli Parlimen Bukit Mertajam itu berkata, beliau akan menjunjung titah Yang di-Pertuan Agong untuk melaksanakan tugas yang diberikan kepadanya.

Dalam ciapan di Twitter selepas istiadat mengangkat sumpah jawatan hari ini Steven Sim menzahirkan kerjasama dengan Ahmad melalui serangkap pantun.

“Sekarang dah 2022 nak masuk 2023, kita jalan teruih demi pertiwi.

“Sama-sama dayung bahtera, Dayung arah kota permata, Sama-sama bangun negara, Junjung titah lupa sengketa.

“Let’s work together Datuk Seri,” kata Steven Sim sambil berkongsi gambar beliau bersama Ahmad.

Pada 2015, Steven Sim membuat ciapan menyatakan tugasnya adalah untuk meruntuhkan kerajaan yang dianggotai oleh Ahli Parlimen Pontian itu.

Ciapan itu menjadi tular semula selepas Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Steven Sim dan Ahmad dilantik sebagai Timbalan Menteri Kewangan.

Terdahulu, Ahmad berkata, beliau akan menggunakan pengalamannya berkhidmat di tiga kementerian sebelum ini termasuk Kementerian Kewangan untuk membantu rakyat.

“Saya berazam ungtuk melakukan yang terbaik dengan menggunakan sedikit pengalaman di Kementerian Kewangan bagi meneruskan dasar Kerajaan Perpaduan untuk kepentingan rakyat dan negara,” katanya.

Seramai 27 Timbalan Menteri hari ini mengangkat sumpah jawatan di hadapan Yang di-Pertuan Agong di Istana Negara. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here