
PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berharap barisan Kabinet lengkap Kerajaan Perpaduan yang diumumkannya malam tadi, dapat melakukan tranformasi kepada negara.
Menerusi hantaran ringkas di Facebooknya Anwar berkata, kini masanya untuk semua yang dilantik berkhidmat dengan sedaya upaya.
“Alhamdulillah, saya telah mengumumkan barisan Timbalan Menteri sebentar tadi (malam tadi).
“Kini masa untuk bekerja dan menjelmakan perubahan dengan sedaya upaya. Kita mampu dan kita boleh,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengucapkan tahniah kepada mereka yang dilantik.
“Tahniah kepada semua yang telah dilantik. Selamat menjalankan tugas demi kesejahteraan rakyat dan kemakmuran negara,” tulisnya di Facebook.
Malam tadi, Anwar mengumumkan pelantikan 27 timbalan menteri selepas mendapat perkenan Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah.
Pada Jumaat lalu, Anwar mengumumkan pelantikan dua timbalan perdana menteri dan 28 anggota Jemaah Menteri bagi Kerajaan Perpaduan.
Dalam senarai yang diumumkan malam tadi, seorang bekas menteri dan 10 pemimpin yang pernah menjawat timbalan menteri disenaraikan dalam barisan timbalan menteri baharu Kabinet Kerajaan Perpaduan. – Malaysiapost
