Wajar benarkan perbicaraan Najib disiar secara langsung – Puad

0
1

KERAJAAN Perpaduan yang diterajui Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim perlu mempertimbangkan untuk membenarkan siaran secara langsung prosiding semakan kehakiman kes SRC yang melibatkan Datuk Seri Najib Razak.

Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno Datuk Dr Mohd Puad Zarkashi berkata, keperluan menyiarkan prosiding tersebut secara langsung wajar memandangkan kes tersebut berprofil tinggi, selain membolehkan rakyat menilai apakah keadilan telah diberikan sepenuhnya kepada bekas Perdana Menteri itu.

“Najib mohon agar prosiding semakan kehakiman kes SRC pada 19 Januari 2023 disiarkan secara langsung melalui ‘online streaming’.

“Kes Najib adalah kes profil tinggi. Ini usaha terakhir beliau melalui semakan kehakiman terhadap keputusan sebelumnya.

“Diharap Kerajaan Perpaduan bagi kebenaran. Ini bukan minta gugurkan kes. Ia bertujuan agar Najib dapat liputan perbicaraan yang adil. Najib selama ini mangsa persepsi yang melampau.

“Prosiding Mahkamah kes SRC dilaporkan secara berat sebelah. Cerita dalam mahkamah tidak sama dengan apa yang dilaporkan dalam media,” katanya di Facebook, hari ini.

Mohd Puad berkata, Kerajaan Perpaduan yang memperjuangkan reformasi institusi kehakiman wajar membenarkan prosiding tersebut disiarkan secara langsung.

“Justeru permohonan itu wajar, sesuai dengan pembaharuan institusi yang diperjuangkan kerajaan baru. Mohon rakyat menyokongnya,” katanya.

Semalam, anak perempuan Najib, Nooryana Najwa berharap Kerajaan Perpaduan dapat membenarkan perbicaraan bapanya disiarkan secara langsung melalui platform atas talian.

Menerusi hantaran di Instagram, Nooryana berkata bapanya sejak dari awal meminta perbicaraan kes beliau disiarkan secara langsung agar rakyat memahami apa sebenarnya yang berlaku dalam mahkamah. -Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here