DATUK Dr Mohd Puad Zarkashi mengingatkan bekas Ketua Umno Bahagian Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang rumah terbakar disebabkan ada orang di dalamnya membuat pendawaian tambahan sesuka hati.
Malah, menurut Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno itu, orang dalam rumah terbabit juga melakukan pengubahsuaian tidak mengikut spesifikasi dan memandai-mandai.
“Tetapi ada juga orang yang sengaja bakar rumah sendiri kerana mahu untung lebih. Dia beli insuran mahal kerana tamak.
“Akhirnya rugi dan niat jahat dia terbongkar,” tulisnya menerusi hantaran di Facebook.
Mohd Puad membalas kiasan Annuar yang menyatakan beliau seakan-akan bermimpi ‘rumah Umno’ sedang terbakar.
Annuar, antara pemimpin yang dipecat dalam mesyuarat MKT Umno malam tadi.
Menerusi hantaran di Facebooknya, Annuar berkata beliau bermimpi rumah pusaka didiaminya terbakar, disyaki disebabkan litar pintas pada suis utama atau wayar putus.
Mengulas lanjut, Mohd Puad berkata, sekiranya rumah terbakar patut disiram air dan bukannya dengan petrol.
“Lagi jahanam. Mujur sempat lari keluar. Pergilah tumpang rumah lain. Harga pun mahal. RM600 Bilion,” katanya.
Beliau secara sinis melahirkan rasa simpati terhadap Annuar yang bermimpi rumah terbakar sehingga terpaksa keluar untuk menyelamatkan diri.
“Rupanya mimpi saja. Rumah tidak terbakar pun,” katanya. – Malaysiapost

