Azeez dibebaskan selepas penemuan bukti baharu- Peguam Negara

0
1

JABATAN Peguam Negara membuat kesimpulan tidak mempunyai keterangan dan fakta untuk menyokong kes rasuah terhadap Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim selepas keputusan siasatan lanjut oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Jabatan itu menerusi kenyataan, berkata sejak pemfailan pertuduhan di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, Abdul Azeez telah mengemukakan beberapa representasi ke jabatan terbabit menerusi peguam belanya, agar kes pendakwaan terhadapnya ditarik balik dan kesemua pertuduhan dibatalkan.

Katanya, namun pihak pendakwaan telah menerima enam akuan berkanun daripada saksi-saksi utama pendakwaan sendiri yang menyebabkan satu siasatan yang menyeluruh perlu dibuat SPRM kerana terdapat bukti baharu yang tidak dipertimbangkan sebelum ini.

“Pada 23 September 2022, pihak Pendakwa Raya memohon kepada mahkamah satu perintah pelepasan tanpa terjumlah kepada pembebasan mengikut seksyen 254(2) Kanun Tatacara Jenayah agar siasatan lanjut dapat dibuat.

“Mahkamah Sesyen telah membenarkan Azeez Rahim dilepaskan tanpa dibebaskan (DNAA),” kata kenyataan itu, hari ini.

Sementara itu, jabatan itu berkata Abdul Azeez pada 1 Disember lalu melalui peguamnya telah memfailkan permohonan untuk pelepasan dan pembebasan (AND) dari kesemua pertuduhan.

“Setelah kertas siasatan diteliti, jabatan ini bersetuju untuk tidak meneruskan pertuduhan terhadap Azeez Rahim dan tidak membantah terhadap permohonan pelepasan dan pembebasan Azeez Rahim pada hari ini,” katanya.

Terdahulu, media melaporkan Abdul Azeez hari ini dilepas dan dibebaskan daripada tiga tuduhan rasuah dan enam tuduhan pengubahan wang haram berhubung projek jalan raya di Perak dan Kedah.

Bekas Ahli Parlimen Baling itu pada 23 September lalu dilepas tanpa dibebaskan oleh Hakim Mahkamah Sesyen selepas pendakwaan memohon beliau dilepas tanpa dibebaskan mengikut Seksyen 254 (3) Kanun Acara Jenayah atas alasan representasi tertuduh dipertimbangkan dan memerlukan siasatan lanjut.

Pada prosiding di Mahkamah Tinggi hari ini, Hakim Mahkamah Tinggi Kula Lumpur, Datuk Azhar Abdul Hamid membenarkan permohonan notis usul yang dikemukakan peguam bela Amer Hamzah Arshad supaya anak guamnya dibebaskan terus daripada semua pertuduhan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here