TAN Sri Annuar Musa, antara pemimpin yang dikatakan dipecat dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno malam tadi, tampil memberi kiasan, seakan mengesahkan pemecatannya.
Menerusi hantaran di Facebooknya hari ini, Ketua Umno Bahagian Ketereh itu berkata beliau bermimpi rumah pusaka didiaminya terbakar, disyaki disebabkan litar pintas pada suis utama atau wayar putus.
Menurutnya, dalam mimpinya itu, ramai penghuni sudah lari meninggalkan rumah yang terbakar atau dibakar.
“Saya sayang rumah itu. Saya cuba memadam kebakaran supaya jangan lebih ramai penghuninya lari.
“Ketika api masih marak dan ramai yang terus lari meninggalkan rumah, tiba-tiba saya ditarik keluar dari api yg membakar. Kini saya hanya mampu lihat kebakaran dari luar.
“Walaupun saya amat sayang rumah itu, saya hanya mampu berdoa… ‘Ya Allah kepada Mu aku berserah dan kepadaMu jua aku meminta pertolongan. Kau selamatkanlah “rumah” yang sedang terbakar itu,” tulisnya.
Lewat malam tadi, Malaysiapost melaporkan Annuar antara pemimpin Umno bahagian yang dipecat dalam mesyuarat MKT Umno.
Menurut sumber Umno, mesyuarat MKT yang dipengerusikan Presiden Umno bersetuju untuk memecat seorang ketua bahagian dan dua ketua wanita bahagian.
“Pemimpin Umno bahagian yang dipecat ialah Ketua Umno Ketereh, Annuar Musa,” katanya kepada Malaysiapost. – Malaysiapost

