MENTERI Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDNKSH), Datuk Seri Salahuddin Ayub mengadakan lawatan mengejut ke kedai runcit dan Pasar Awam di Putrajaya, hari ini.
Beliau berkata, dalam perjalanan ke pejabat hari ini beliau tergerak hati ingin singgah ke kedai runcit dan pasar awam tanpa memberitahu pengurusan kementerian kerana tidak mahu lawatan itu menjadi seperti acara keraian.
Katanya, beliau hanya ditemani pemandu dan pegawai pengiring yang bertindak sebagai jurukamera dan juruvideo.
“Saya mohon maaf sekiranya kualiti video dan suntingannya tidak memuaskan, “katanya dalam hantaran Facebook, hari ini.
Menerusi hantaran itu juga beliau memuat naik video berdurasi 2 minit 23 saat yang memaparkan tinjauan beliau di kedai runcit dan mendengar masalah yang dihadapi peruncit.
Dalam video itu, beberapa rungutan didapati antaranya kehabisan bekalan minyak masak paket satu kilogram (kg) dan kekurangan bekalan telur ayam.
Sementara itu, Salahuddin berkata, dalam tinjauan itu beliau mendapati terdapat kekurangan bekalan telur bersubsidi gred A, B dan C serta minyak masak bersubsidi paket satu kg di pasaran.
Katanya, beliau akan mengadakan mesyuarat bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan esok bagi membincangkan isu bekalan telur bersubsidi di pasaran.
Tambahnya, pada masa sama beliau akan mengarahkan Bahagian Penguat Kuasa KPDNKHS untuk menyelesaikan masalah minyak masak bersubsidi paket satu kg. – Malaysiapost

