“Dengarlah suara rakyat” – Annuar Musa

0
3

KEPUTUSAN pilihan raya Parlimen Padang Serai, Kedah dan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang semalam yang disifatkan sebagai suara rakyat pasca Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15), perlu didengari, kata Tan Sri Annuar Musa.

Ketua Umno Bahagian Ketereh itu menggambarkan, keputusan di kedua-dua bahagian pilihan raya berkenaan membuktikan rakyat menolak Pakatan Harapan (PH) dan Barisan Nasional (BN)

“Dengarlah suara rakyat..Apabila Padang ranap dan Pulau hampir tenggelam,” katanya ringkas dalam satu hantaran di Facebook, sejurus keputusan pilihan raya di Padang Serai dan Tioman diketahui.

Dalam PRU-15 Bahagian Parlimen Padang Serai semalam, calon Perikatan Nasional (PN) Datuk Azman Nasrudin diumumkan sebagai pemenang selepas memperoleh 51,637 undi dengan majoriti 16,260 undi mengatasi calon PH, Dr Mohamad Sofee Razak yang meraih 35,377 undi.

Keputusan DUN Tioman pula menyaksikan calon BN, Datuk Seri Mohd Johari Hussain memperoleh 8,080 undi untuk menewaskan calon PN, Nor Idayu Hashim dengan majoriti hanya 573 undi.

Annuar antara pemimpin Umno yang sebelum ini yang lantang menolak BN bekerjasama dengan PH serta Pengerusinya Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Sebelum ini, beliau turut meluahkan rasa hati mengenai igauan buruk susulan kekalahan teruk BN dalam PRU-15 pada 19 November lalu dan meminta agar kepimpinan parti untuk mendengar suara rakyat dengan berundur.

Annuar bagaimanapun berpendapat tidak wajar untuk terus mempertikaikan pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri ke-10, kerana proses pelantikan telah selesai dan keputusan Yang di-Pertuan Agong mengenainya perlu dipatuhi.

Menurutnya, tumpuan sekarang haruslah kepada kerajaan yang berwibawa dan mampu membawa kestabilan dan kemakmuran kepada rakyat. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here