Tak perlu hentikan projek tebatan banjir semata-mata untuk siasatan

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim diminta menerusikan projek-projek rancangan tebatan banjir (RTB) yang telah diluluskan sebelum ini, diteruskan dan pada masa sama siasatan boleh dilakukan.

Saranan itu dikemukakan Exco Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh susulan arahan Perdana Menteri semalam bahawa kelulusan mutakhir projek RTB berjumlah RM7 bilion daripada keseluruhan peruntukan RM15 bilion dilaksanakan melalui rundingan terus tanpa proses tender, diteliti semula.

Menurut Dr Akmal yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Merlimau, projek tebatan banjir jika dilambatkan proses pembinaannya, maka yang menerima kesannya adalah rakyat.

Katanya, ia sepatutnya dilaksanakan secepat mungkin agar masalah banjir yang menimpa rakyat dapat diatasi dengan segera.

“Jika siasatan mendapati terdapat kesalahan, maka wajar dihentikan dan diganti dengan yang lain dan seharusnya projek tebatan banjir ini tidak perlu diberhentikan hanya untuk melakukan siasatan semata-mata.

“Rakyat di bawah ini sudah lama menanggung derita dan kerugian akibat banjir, dan RTB adalah harapan mereka untuk keluar dari derita ini,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Semalam Anwar berkata kelulusan peruntukan berjumlah RM7 bilion itu tidak akan diteruskan dan akan diteliti semula supaya terdapat prinsip ketelusan dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.

“Jumlah ini bukan kecil… atas alasan umpamanya membantu menyegerakan langkah tebatan banjir tetapi ada masalah apabila peraturan tidak dipatuhi dan ada upaya mencari kesempatan.

“Ini amat dikesalkan dan saya berterima kasih kerana pegawai kanan Kementerian (Kewangan) bersama dan tidak selari dengan maksud ini, tetapi pada ketika itu (hanya) mengikut arahan,” kata Perdana Menteri. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here