Dalang Macau Scam lolos, SPRM jadi bahan jenaka

0
3

Nurul Huda Abhar

KISAH dalang utama sindiket Macau Scam bergelar ‘Datuk Seri’ dipercayai lolos ketika berada dalam tahanan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tular di laman sosial baru-baru ini.

Rata-rata warganet mempersoalkan bagaimana seorang tahanan boleh terlepas dan memanjat pagar tembok SPRM yang mempunyai kawat besi di atasnya.

Isu berkenaan menjadi perbualan hangat dan mencetuskan sindiran warganet terhadap kredibiliti organisasi tersebut dalam menguruskan tahanan.

Menerusi semakan Malaysiapost di laman sosial Facebook, terdapat lakaran lucu berbentuk kartun yang mempersendakan situasi yang sedang dihadapi SPRM.

Juga terdapat pertanyaan daripada warganet tentang logik bagaimana pesalah yang mempunyai berat hampir 100 kilogram boleh memanjat pagar tembok itu dengan mudah?

Memetik laporan Sinar Harian, semasa kejadian suspek dibantu dua pengawal peribadi yang telah bersedia untuk membantu beliau memanjat pagar dan meloloskan diri dari tangkapan polis.

Menurut sumber, kejadian itu disedari selepas polis menahan kenderaan yang dinaiki suspek terbabit ketika melalui pintu pagar utama SPRM.

“Hasil semakan kamera litar tertutup (CCTV), suspek didapati memanjat pagar dengan bantuan dua pengawal peribadi dan sebuah kereta Perodua Myvi telah menunggu di tepi jalan,” katanya. – Malaysiapost

Foto : Facebook Hakim Bin Malik