Bencana ekonomi rakyat jika PRU mengejut, kata Wan Ahmad

0
2

Wan Ahmad Wan Omar

[Sudut Pandang] PERTUKARAN kerajaan, sama ada melalui kuasa rakyat dalam pilihan raya atau akibat hilang kepercayaan wakil-wakil rakyat kepada ketua Kerajaan adalah perkara lumrah dalam sebuah negara demokrasi berparlimen.

Tetapi, pemimpin yang dipilih wajar menghayati maksud dan matlamat demokrasi berperwakilan menerima amanah dan membawa kebaikan kepada rakyat selaku pengundi. Justeru, walaupun undang-undang mengizinkan pertukaran kerajaan dan perebutan kuasa, pemimpin yang dipilih perlu bertanggungjawab dalam melakukan sesuatu langkah politik yang boleh mendatangkan mudarat kepada rakyat dan negara.

Rakyat muak dan sedang memerhati kerenah politik perebutan kuasa yang tak berkesudahan sejak Pilihan Raya Umum (PRU-14). Jika ditanya apa yang rakyat mahu? Jawapnya, rakyat mahukan keselamatan nyawa agar dapat diteruskan kehidupan tanpa diganggu dengan apa-apa tambahan masalah baharu.

Justeru, demi rakyat dan negara, ketepikan politik buat seketika. Selesaikan politik perebutan kuasa secara medan rundingan, dalam situasi sekarang elakkan sama sekali penyelsaian melalui pertarungan di medan pilihan raya.

Dalam keadaan negara dilanda penularan Covid-19, mengadakan PRU untuk menyelesaikan kemelut politik adalah amat tidak sesuai dan merupakan pilihan opsyen terakhir. Tambah pula keadaan kewangan negara yang tidak mengizinkan dan rakyat tidak bersedia.

Kesan menimpa rakyat akibat Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah perlu menjadi iktibar. Penularan virus akibat PRN tersebut amat membimbangkan. Penularan meningkat mendadak PKPB terpaksa dikuatkuasakan semula (Kuala Lumpur, Sabah, Selangor dan Putrajaya.). Bayangkan bahayanya jika PRU berlaku diseluruh negara.

Subhead : Perebutan dalaman

Rakyat rata-rata muak dengan politik perebutan kuasa yang berlaku sejak Jun 2018. Semasa 22 bulan di bawah Pakatan Harapan (PH), perebutan dalaman berlaku antara Tun Mahathir dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim. Kesudahanya Tun M meletak jawatan, PH hilang kuasa. Rakyat merasa lega seketika apabila Tan Sri Muhyiddin dilantik dan kerajaan baharu dibentuk. Keselamatan nyawa dan kehidupan rakyat menjadi tumpuan utama.

Sejak dari hari pertama meneraju kerajaan Muhyiddin bertungkus lumus melakukan pelbagai usaha dan tindakan melawan serangan Covid-19. Fokus utama menyelamat nyawa dan kehidupan rakyat (golongan marhaen B40 yg amat terkesan akibat serangan Covid19). Diwaktu yang sama usaha menyelamatkan ekonomi negara turut diberi tumpuan. Atas usaha gigih kerajaan dan semua pihak yang terlibat, Malaysia menjadi antara negara yang dianggap berjaya melawan wabak tersebut.

Sekarang apa jadi? Akibat politik perebutan kuasa, bermula dgn PRN Sabah yang terpaksa diadakan. Pelbagai parti politik turun ke Sabah mendekati rakyat berkempen untuk menang pilihan raya. Akibatnya, penularan Covid-19 mendadak merebak ke seluruh negara.

Politik perebutan kuasa sekarang, jika berterusan tanpa penyudahnya secara berhemah dan berjiwa besar maka opsyen terakhir yang tinggal ialah menyerahkan balik kuasa kepada rakyat. Mahu tidak mahu PRU15 mengejut terpaksa diadakan.

Bayangkan bencana yang bakal nenimpa rakyat, masalah ekonomi yang bakal menimpa negara. Apa akan jadi kepada kehidupan rakyat semasa dan selepas PRU. Hakikatnya, parti mana sekalipun yang menang, paling cepat tiga atau empat bulan kerajaan baharu dapat mengatur langkah dan strategi untuk mengurus dan mentadbirkan negara. Yang menjadi mangsa ialah rakyat jelata. – Malaysiapost

Penulis adalah bekas Timbalan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR)

Foto Kredit: Awani