Lebih 35% pengundi Parlimen Padang Serai, DUN Tioman sudah mengundi

0
2

STATISTIK keluar mengundi bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) Bahagian Parlimen Padang Serai, Kedah mencatatkan sebanyak 36 peratus sudah menunaikan tanggungjawab untuk mengundi.

Peratusan keluar mengundi bagi PRU-15 Bahagian Dewan Undangan Negeri (DUN) Tioman, Pahang, pula setakat ini adalah sebanyak 35 peratus.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan jumlah pengundi yang telah keluar mengundi bagi hari undi biasa di kedua-dua kawasan berkenaan adalah sehingga jam 12 tengah hari tadi.

“Statistik keluar mengundi bagi Hari Undi Biasa PRU-15 pada jam 12 tengah hari, Parlimen P.017 Padang Serai peratus keseluruhan adalah 36 peratus.

“DUN N.42 TIOMAN, peratus keseluruhan 35 peratus,” menurut perkongsian SPR di laman Facebook rasminya.

SPR memaklumkan seramai 132,955 pengundi berdaftar akan mengundi di Parlimen Padang Serai, Kedah manakala seramai 28,108 pengundi lagi akan mengundi di DUN Tioman, Pahang hari ini.

Sebanyak 46 Pusat Mengundi dan 230 Tempat Mengundi (Saluran) dibuka dari jam 8 pagi hingga 6 petang di Parlimen Padang Serai membabitkan seramai 2,468 petugas.

Manakala DUN Tioman pula, sebanyak 17 Pusat Mengundi yang mengandungi 52 Tempat Mengundi dibuka membabitkan 506 petugas.

Pilihan raya di Parlimen Padang Serai dan DUN Tioman yang sepatutnya berlangsung pada 19 November ditangguhkan pada hari ini susulan kematian calon di kedua-dua kawasan berkenaan. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here