BEKAS Naib Presiden Bersatu, Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen semalam berkempen untuk calon Barisan Nasional (BN) bagi DUN Tioman, Datuk Seri Johari Hussain dalam Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Bagaimanapun Mohd Rafiq menjelaskan, beliau turun membantu Johari atas dasar sebagai seorang sahabat dan belum menyertai mana-mana parti termasuk BN.
“Saya memang rapat dengan beliau! Beliau seperti abang saya. Saya pasti cari beliau apabila saya ke Rompin begitu jugalah beliau pasti cari saya apabila datang ke Melaka!
“Saya masih belum menyertai mana-mana parti politik buat masa ini dan sebagai individu yang tidak lagi terikat dengan mana-mana parti ( tidak berparti), tidak menjadi kesalahan untuk saya turun berkempen dan menyokong sahabat saya apabila saya diminta untuk membantu.
“Jutaan terima kasih kerana begitu prihatin tentang perjalanan dan halatuju politik saya,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.
Pada 30 Oktober lalu, Mohd Rafiq mengumumkan meletak semua jawatannya dalam Bersatu dan keluar dari parti berkenaan berkuat kuasa serta-merta.
Beliau berkata tindakan itu diambil selepas tidak dipilih sebagai calon Perikatan Nasional (PN) bagi Parlimen Tangga Batu walaupun telah enam tahun berkhidmat di kawasan itu sejak 2016.
Mohd Rafiq berkata beliau mahu berehat sebentar daripada dunia politik dan fokus kepada keluarganya. – Malaysiapost

