PU Azman didakwa lagi

0
3

PENDAKWAH selebriti, Azman Syah Alias atau dikenali PU Azman, sekali lagi dihadapkan ke dua mahkamah berasingan di Shah Alam hari ini.

Dia didakwa atas tiga pertuduhan amang seksual dan satu pertuduhan kelucahan melampau terhadap tiga remaja lelaki pada Februari, Jun serta Ogos lalu.

Azman Syah, 41, mengaku tidak bersalah selepas tiga pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim Syafeera Mohd Said di Mahkamah Sesyen, dan satu pertuduhan di hadapan Majistret Amirul Asyraf Abd Rasid di Mahkamah Majistret, lapor Berita Harian.

Di Mahkamah Sesyen, dia didakwa dengan dua pertuduhan kes amang seksual fizikal terhadap mangsa berusia 17 tahun di sebuah inap desa di Sungai Udang, masing-masing pada jam 12.15 tengah malam 20 Februari dan jam 1 pagi pada 29 Jun lalu.

Tertuduh didakwa mengikut Seksyen 14 (a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun dan boleh juga dikenakan sebat, jika sabit kesalahan.

Selain itu, tertuduh didakwa menggalakkan seorang lagi mangsa lain yang juga berusia 17 tahun untuk berkomunikasi secara seksual melalui WhatsApp antara jam 4 petang hingga 7.30 malam di sebuah rumah di Kampung Meru, 16 Ogos lalu.

Dia didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum mengikut Seksyen 11 (1)(b) Akta Kesalahan-Kesalahan Terhadap Kanak-Kanak 2017 yang memperuntukkan hukuman penjara hingga tiga tahun, jika sabit kesalahan.

Di Mahkamah Majistret pula, Azman Syah didakwa melakukan perbuatan kelucahan melampau terhadap seorang remaja lelaki lain berusia 19 tahun di sebuah rumah di Jalan Sungai Bertek, pada jam 9.15 malam 10 Jun lalu.

Dia didakwa mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara hingga dua tahun jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM24,000 bagi semua pertuduhan dengan seorang penjamin, dan syarat tambahan tidak mengganggu mangsa, keluarga serta saksi pendakwaan, selain melapor diri di balai polis berhampiran pada setiap awal bulan.

Sebutan semula bagi kesemua kes berkenaan ditetapkan pada 12 Januari tahun depan.

Oktober lalu, dia didakwa di Mahkamah Sesyen Seremban atas lima pertuduhan melakukan amang seksual terhadap dua remaja lelaki pada Februari dan Julai tahun sama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here