Gaji Anwar hanya RM1 ketika jadi Penasihat Ekonomi Selangor – Juwairiya

0
2

DAKWAAN Tan Sri Muhyiddin Yassin bahawa Datuk Seri Anwar Ibrahim menerima bayaran RM15 juta semasa menjadi Penasihat Ekonomi Selangor disifatkan sebagai fitnah.

Setiausaha politik Menteri Besar Selangor, Juwairiya Zulkifli berkata, perkara yang dinyatakan Muhyiddin semasa kempen Pilihan Raya Umum (PRU) Padang Serai, adalah pengulangan fitnah yang pernah dinafikan sebelum ini.

“Ia telah dinafikan berulang kali termasuk dalam jawapan rasmi Menteri Besar ketika itu Allahyarham Tan Sri Khalid Ibrahim dalam sidang Dewan Negeri Selangor,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Beliau berkata, dalam tempoh Anwar menjadi Penasihat Ekonomi Selangor, beliau hanya diberikan gaji simbolik RM1 setahun.

Katanya, sejak tarikh lantikan Anwar juga tidak menerima sebarang bayaran elaun atau keistimewaan selain gaji RM1 tersebut.

“Perkara ini telah jelas tertera dalam ‘Hansard’ Dewan Negeri Selangor menerusi jawapan kepada soalan oleh Ahli Dewan Negeri,” katanya.

Menurut Juwairiya, tindakan Muhyiddin mengitar dakwaan tidak berasas itu menunjukkan Perikatan Nasional (PN) kini muflis modal dan terdesak berkempen, selepas gagal membentuk Kerajaan Persekutuan.

“Tindakan menabur fitnah serta dakwaan palsu bagi mengaburi fikiran rakyat ini sangat tidak bertanggungjawab dan jelas terkeluar dari nadi politik Melayu-Islam yang selalu mereka dendangkan.

“Saya yakin pengundi Padang Serai wajar menolak PN dalam pilihan raya hari ini kerana masih mahu menagih undi dengan fitnah dan rekaan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau percaya Perdana Menteri wajar mengambil tindakan bagi menghalang pengulangan fitnah itu daripada terus dijaja oleh mereka yang bankrap akhlak dan etika dalam berpolitik. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here