Kartel punca pesawah miskin

0
1

“BERAPA lamakah seorang Syed Mokhtar (tokoh korporat, Tan Sri Syed Mokhtar Al-Bukhary) sanggup memberikan RM50 juta setahun untuk menyelesaikan kemiskinan pesawah padi?” soal Menteri Besar Kedah Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor.

Beliau membangkitkan persoalan itu susulan tindakan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengarahkan syarikat Padiberas Nasional Berhad (BERNAS) menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan.

Muhammad Sanusi menegaskan, pesawah padi miskin bukan kerana syarikat-syarikat konglomerat tidak membantu mereka, namun kerana kitaran penghasilan padi dan industri padi yang dikawal oleh kartel-kartel besar sejak puluhan tahun lamanya.

“Malah sebelum wujudnya BERNAS dan Lembaga Padi dan Beras Negara (LPN) pun petani sudah miskin. Sejak sistem padi kunca mula dikenakan oleh pemborong dan pengilang padi, kemiskinan pesawah padi telahpun direncana supaya tidak akan berakhir.

“Lama sebelum wujudnya Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) pada 1973, pesawah padi telahpun miskin.

“Setelah sekian bilion ringgit bantuan dan subsidi diturunkan melalui agensi-agensi di rancangan penanaman padi, petani kekal miskin, laba dan manisnya telah pergi kepada pihak lain,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau mendakwa, segala sudut dalam industri padi, daripada input benih, baja, racun, mesin dalam proses penanaman sehinggalah kepada pemasaran, pengilangan, dan pengurusan skim bantuan, ada pihak yang telah mengawalnya sejak puluhan tahun dan merekalah pihak yang paling beruntung.

“Mereka inilah sebenarnya kartel padi. Kartel padi telah membelit sistem, kaedah dan proses dalam industri penanaman padi dengan pelbagai pendekatan.

“Jika keseluruhan sistem yang terbelit ini tidak dirungkai, 10 orang Syed Mokhtar pun tidak akan berupaya mengeluarkan petani daripada kemiskinan mereka,” katanya.

Menurutnya, tindakan mengarahkan pihak tertentu menyumbang kepada petani adalah langkah populis, menunjuk-nunjuk, bukan langkah menyelesaikan masalah kemiskinan petani.

Perdana Menteri semalam dilaporkan berkata, arahan Kerajaan Persekutuan untuk BERNAS menyalurkan peruntukan RM10 juta kepada pesawah miskin bulan ini dan RM50 juta tahun hadapan, bukan bertujuan merobohkan empayar perniagaan Syed Mokhtar.

Menurutnya, ia dilakukan untuk kepentingan rakyat dan pesawah miskin serta dibuat selepas berunding dengan tokoh korporat berkenaan.

Terdahulu Muhammad Sanusi turut mendakwa Anwar hanya berani menegur Syed Mokhtar berbanding tokoh korporat terkaya di Malaysia yang lain kerana beliau Melayu dan mudah dibuli. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here