Agenda Kertas Putih Pertahanan jadi keutamaan Tok Mat

0
2

MENTERI Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan akan meneruskan agenda Kertas Putih Pertahanan (KPP) yang diluluskan dalam sidang Parlimen sebelum ini.

Beliau berkata, langkah seterusnya adalah memperkasa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dalam ketiga-tiga perkhidmatan iaitu Tentera Darat, Tentera Laut dan Tentera Udara, lapor Harian Metro.

“Kita mahu terus lakukan usaha dan menambah nilai kementerian ini dengan memastikan kertas putih yang sudah diluluskan Parlimen dapat dijayakan secepat mungkin.

“Ada antara tujuh teras utama yang terdapat dalam kertas putih itu sedang dan sudah dilakukan ketika ini.

“Kita nampak ia sedang dilakukan dengan terbaik dan menjadi sebahagian teras pembangunan Wisma Pertahanan,” katanya pada sidang media di Kementerian Pertahanan hari ini.

Ahli Parlimen Rembau itu secara rasmi memulakan tugasnya sebagai Menteri Pertahanan, hari ini.

Mohamad tiba di Dataran Wisma Pertahanan pada jam 3 petang selepas mesyuarat Khas Kabinet Kerajaan Perpaduan pagi tadi.

Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN) menerima tabik hormat Kawalan Kehormatan Utama daripada Batalion Pertama Rejimen Askar Melayu Diraja.

Mengenai kapal tempur pesisir (LCS), Mohamad berkata beliau akan meneliti perkara itu terlebih dulu.

“Bagi saya duduk dulu di pejabat sebelum membuat gerak kerja,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here