PELANTIKAN individu bebas politik, Datuk Dr Mohd Na’im Mokhtar sebagai Menteri Hal Ehwal Agama diharap dapat mengurangkan serangan politik ke atas pentadbiran Islam di negara ini.
Naib Presiden Amanah, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof Rawa, berkata jawatan sensitif itu sering kali menjadi sasaran dipolitikkan kerana ia terlalu rapuh dan mudah digunakan bagi menaikkan sentimen dan emosi.
Menurutnya, jawatan yang diisi Ketua Pengarah Jabatan Kehakiman Syariah (JKSM) itu dapat lebih menumpukan kepada pembikinan dasar yang memperkukuhkan pentadbiran Islam Persekutuan.
“Kritikan seharusnya kepada cara dan keberkesanan dasar pentadbiran, bukannya sentimen dan emosi agama sempit untuk membuktikan siapa yang lebih Islamik.
“Kita dapat lihat eksploitasi agama ditunggang secara maksimum terutama dalam isu Tabung Haji yang mana isu asalnya hanyalah soal pentadbiran dan penstrukturan semula yang berkaitan soal tadbir urus korporat.
“Tapi lihatlah pihak yang bermotifkan politik menjadikannya isu agama sempit sehingga melahirkan kebencian dan permusuhan atas premis tidak membela Islam.
“Naratif ini diselaputi fitnah, pembohongan kebencian sehingga fakta ditutup dengan penguasaan fitnah dan pembohongan ke atas isu, tiada objektiviti,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Dalam pada itu, Mujahid yang juga Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Perak, berharap Mohd Na’im akan meneruskan dasar Gagasan Negara Rahmah (Rahmatan Lil Alamin) yang dibawa beliau ketika pentadbiran PH.
“Kelayakan beliau memimpin JKSM tidak dapat dinafikan kerana dasar baru Gagasan Negara Rahmah yang diperkenalkan ketika itu membawa banyak reformasi perundangan syariah peringkat Persekutuan di bawah teraju beliau.
“Saya mendoakan pelantikan ini membawa kesan terbaik untuk kepentingan umat Islam khususnya dan pentadbirannya di Malaysia umumnya,” katanya. – Malaysiapost

