Tubuh segera RCI RM600 bilion

0
2

Ben Ibrahim

AHLI Majlis Tertinggi Umno, Isham Jalil menyokong penuh cadangan menubuhkan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) bagi menyiasat perbelanjaan hampir RM600 bilion kerajaan diterajui Tan Sri Muhyiddin Yassin sebelum ini.

Beliau yang juga Ketua Penerangan Umno berkata, hanya melalui RCI sahaja dapat membuktikan ke mana wang itu digunakan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dan proklamasi darurat sepanjang Muhyiddin menjadi Perdana Menteri.

“Kelmarin ada laporan polis telah dibuat mengenai RM600 bilion tu dan saya rasa perkara ini perlu diteruskanlah, sebab RM600 bilion ni satu jumlah yang besar.

“Bajet Persekutuan pun RM300 bilion (setahun) jadi bersamaan dua tahun bajet Persekutuan ‘so’ lepas itu bila kita nak tanya pasal benda ini, semasa PKP itu tak boleh (sebab) parlimen ditutup dan dia buat darurat, Muhyiddin dia buat darurat.

“Jadi, kali ni kita nak tanyalah mana dana ini pergi terutama bila kita nampak ‘time’ PRU15 itu hari, perbelanjaan Perikatan Nasional (PN) untuk pilihan raya mewah betul, jadi kita nak tahu juga mana dia dapat duit,” katanya ketika ditemui media selepas menghadiri ceramah dan penjelasan kerajaan perpaduan di Kampung Pianggu, dekat Rompin malam tadi.

Sebelum ini, Pengarah Biro Mobilisasi Parti Amanah Negara (Amanah), Sany Hamzan, turut mendesak penubuhan RCI bagi menyiasat tujuan perbelanjaan digunakan daripada dana kecemasan RM600 bilion ketika tempoh darurat.

Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat turut membuat laporan polis berkaitan isu berkenaan di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi, Kuala Lumpur pada 30 November lalu.

Kontroversi mengenai penggunaan dana kecemasan berjumlah lebih RM500 bilion ketika negara berdepan pandemik Covid-19 pernah dibangkitkan bekas Ketua Menteri Melaka, Adly Zahari pada 15 November tahun ini.

Adly dilaporkan berkata Pakatan Harapan (PH) akan menyiasat Muhyiddin jika gabungan parti itu berjaya membentuk kerajaan selepas Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).

Muhyiddin bagaimanapun menegaskan semua wang itu dibelanjakan untuk membantu rakyat dan tidak bimbang atau takut jika ada pihak mahu menyiasatinya kerana semua perbelanjaan dibuat mengikut dasar perolehan ditetapkan.

Dalam pada itu, Setiausaha Agung Umno, Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditemui selepas program sama malam tadi mengakui barisan Kabinet diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak dapat memuaskan hati semua pihak.

Beliau bagaimanapun menganggap kritikan terhadap Kabinet itu adalah perkara biasa dan masih ada ruang untuk ditambah baik.

“Tidak pernah satu Kabinet pun yang tak menerima kritikan, dah berapa banyak kali kita melihat mana ada satu perkara yang 100 peratus sempurna, mesti ada pihak tak bersetuju di sana sini.

“Walau bagaimanapun secara keseluruhan pada pandangan saya Kabinet itu boleh berfungsi dengan baik kerana dia mengambil komposisi -komposisi yang sesuai wakil daripada BN, PH, GPS (Gabungan Parti Sarawak), GRS (Gabungan Rakyat Sabah) (dan) wakil parti kecil,” katanya.

Ditanya mengenai pelantikan Presiden Umno, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi sebagai Timbalan Perdana Menteri pula, Ahmad berkata, keputusan itu dibuat berdasarkan hierarki parti dan perlu dihormati semua pihak.

“Kita mengikut hierarki parti, hierarki jawatan dalam parti itu memberikan kestabilan kepada parti Umno dan memberikan kestabilan kepada kerajaan yang ada.

“Jika kita memberikan (jawatan itu) kepada orang lain selain daripada Presiden Umno, kestabilan itu agak tercabar,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here