Amanah berat datang bersama tugas mencabar dan tanggungjawab menarik – Armizan

0
2

DATUK Armizan Mohd Ali menyifatkan jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah dan Sarawak) yang digalasnya kini adalah satu ‘amanah berat’ yang datang dengan ‘tugas mencabar’ serta ‘tanggungjawab menarik’.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Papar, bagaimanapun yakin dapat melaksanakan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan di bawah kepimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Tugas mencabar, kerana selain pengalaman pertama berada dalam Kabinet persekutuan termasuk dalam landskap baharu dan unik kombinasi ahli Jemaah Menteri, saya diberikan portfolio yang berkait secara langsung dengan suara hati rakyat di Sabah dan Sarawak sejak sekian lama.

“Aspirasi Borneo yang mengharapkan kedua-dua wilayah ini diberikan perhatian dan pengiktirafan yang sewajarnya dalam agenda mengisi serta memperkukuhkan kelestarian Persekutuan Malaysia,” katanya dalam satu hantaran di Facebook.

Armizan berkata, pelantikannya juga datang bersama tanggungjawab menarik kerana amanah itu amat dekat dengan intipati perjuangannya sejak sekian lama khususnya dalam arena politik.

“Antara agenda utama adalah untuk menyusul agenda yang berteraskan Perjanjian Malaysia (MA63),” katanya.

Beliau bersyukur kerana telah mendapat pendedahan dan terlibat dalam perihal MA63 semasa berkhidmat di Pejabat Ketua Menteri Sabah sejak tahun 2020 di bawah kepimpinan Datuk Seri Hajiji Noor.

Menurutnya, selain itu beliau juga mempunyai pengalaman bekerjasama dengan pasukan Pejabat Menteri di JPM (Sabah dan Sarawak) sebelum ini di bawah kepimpinan Datuk Seri Maximus Ongkili.

“Saya yakin sedikit pengalaman ini akan dapat membantu pelaksanaan tugas dan tanggungjawab yang diamanahkan sebagai Menteri di JPM (Sabah dan Sarawak) di bawah kepimpinan Perdana Menteri Malaysia,” katanya.

Armizan, 46, adalah Setiausaha Sulit Kanan Ketua Menteri Sabah yang disandangnya sejak Disember 2020 sebelum bertanding pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang lalu.

Beliau memenangi kerusi Parlimen Papar mewakili Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dengan majoriti 12,224 undi dalam saingan enam penjuru pada 19 November lalu. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here