YANG di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, berkenan mengurniakan bot kepada penduduk di daerah Pekan, Pahang sebagai persiapan menghadapi musim tengkujuh.
Istiadat penyerahan berkenaan disempurnakan di perkarangan Masjid Sultan Ahmad Shah, Pekan, Pahang hari ini.
Istana Negara dalam kenyataan berkata, baginda bertitah kepada penerima supaya bot tersebut digunakan secara bersama penduduk lain yang terjejas banjir dan bukan kegunaan sendiri semata-mata.
“Sebanyak lima buah bot jenis fiber lengkap berserta jaket keselamatan dikurniakan Seri Paduka Baginda bagi memudahkan urusan pemindahan penduduk sekiranya berlaku bencana banjir,” menurt kenyataan itu.

Turut berangkat Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.
Terdahulu, keberangkatan tiba Yang di-Pertuan Agong disambut Menteri Besar Pahang Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dan Setiausaha Kerajaan Negeri Datuk Seri Dr Sallehudin Ishak.
Pada majlis itu, Seri Paduka Baginda turut berkenan mengurniakan sumbangan peribadi dan makanan keperluan harian daripada Majlis Ugama Islam serta Adat Resam Melayu Pahang (MUIP) kepada 150 asnaf.
“Terdahulu Seri Paduka Baginda turut berkenan menunaikan solat Jumaat dan menyantuni jemaah yang hadir,” katanya. – Malaysiapost

