ANAK sulung kepada Datuk Seri Najib Razak, Mohamad Nizar menjadi antara 10 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pahang yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (EXCO), hari ini.
Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan Dan Mengangkat Sumpah Jawatan EXCO itu diadakan di hadapan Pemangku Raja Pahang, Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah di Balairung Seri, Istana Abu Bakar, pada jam 3 petang, tadi.
Selain Mohd Nizar (BN-Peramu Jaya), turut mengangkat sumpah adalah bekas Setiausaha Akbar Menteri Besar Pahang, Fadzli Mohd Kamal (BN-Dong).
Mendahului istiadat mengangkat sumpah itu adalah Datuk Seri Ir Mohd Soffi Abd Razak (BN-Benta) diikuti Datuk Seri Syed Ibrahim Syed Ahmad (BN-Kerdau) dan Datuk Mohammad Fakhruddin Mohd Arif (BN-Bebar) masing-masing pernah memegang jawatan EXCO kerajaan negeri sebelum ini.
Tiga ADUN BN lain yang juga muka baharu ialah Ir Razali Kassim (BN-Muadzam Shah), Datuk Seri Johari Haron (BN-Pelangai) dan Datuk Sabariah Saidan (BN-Guai).
Turut tersenarai ialah dua wakil gabungan parti dalam PH iaitu Sim Chong Siang (PKR-Teruntum) dan Leong Yu Man (DAP-Triang).
Semua mereka kemudian menandatangani surat sumpah dengan disaksikan Wan Rosdy dan Tengku Muhammad Iskandar.
Turut hadir menyaksikan istiadat pelantikan itu, Pengerusi PH Pahang yang juga Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari bersama isteri, Datin Seri Masdiana Mohamad.
Pada 28 November lalu, Wan Rosdy yang juga ADUN Jelai sekali lagi mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Pahang selepas pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang pada 14 Oktober lalu.
Pelantikan Wan Rosdy, 64, disempurnakan pada Istiadat Pengurniaan Surat Cara Pelantikan dan Mengangkat Sumpah Jawatan Menteri Besar Pahang di Balairung Seri, Istana Abu Bakar.
Dengan pelantikan Wan Rosdy sebagai Menteri Besar, BN dan PH bergabung membentuk kerajaan negeri Pahang selepas mendapat majoriti 24 kerusi DUN Pahang. – Malaysiapost
Kredit foto: Fb Kerajaan Negeri Pahang

