Mesyuarat khas Jemaah Menteri Isnin ini – PM

0
3

PERDANA Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim akan memanggil satu mesyuarat khas Jemaah Menteri yang baharu pada Isnin ini.

Beliau berkata, mesyuarat itu bertujuan menetapkan peraturan dan cara kerja kepada setiap menteri dalam usaha memastikan tadbir urus yang baik, selain mengelak pembaziran.

“Sebaik disusun Jemaah Menteri, saya akan panggil mesyuarat khas Isnin ini juga, untuk tetapkan beberapa peraturan bagi menteri.

“Antaranya cara mengurus kementerian, cara berdamping dan bekerjasama dengan penjawat awam, cara pengumuman dasar dan cara penjimatan supaya tidak membelanjakan lebih dari sepatutnya.

“Tumpuan kita (kerajaan perpaduan) adalah pembangunan ekonomi,” katanya ketika berucap pada majlis kenduri rakyat di Tambun hari ini.

Perdana Menteri turut berharap kerajaan pimpinannya kekal stabil bagi membolehkan beliau kekal sepenggal dalam usaha memulihkan ekonomi serta menangani isu-isu rakyat.

“Tiga atau empat tahun lalu orang lain… jadi kita doakan mudah-mudahan orang ini (beliau sendiri) kekal sepenuh penggal.

“Untuk memastikan tumpuan ekonomi, kemiskinan, kos sara hidup, kekurangan barang keperluan ditangani, itu hal yang menyentuh kehidupan rakyat,” katanya.

Anwar turut melahirkan rasa syukur kerana kerajaan baharu dapat memulihkan sedikit keyakinan pelabur luar negara sejurus beliau dilantik sebagai Perdana Menteri.

“Sebagai contoh ringgit diperkuat.. ia akan dapat mengurangkan kos import. Itu sebabnya keyakinan itu penting,” katanya. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here