DUA Loji Rawatan Air (LRA) iaitu Semenyih dan Bukit Tampoi dihenti tugas sementara berikutan pencemaran bau sehingga empat ton yang dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam tadi.
Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan dan Alam Sekitar negeri, Hee Loy Sian, berkata operasi LRA Semenyih dihentikan pada jam 11.15 malam, manakala Bukit Tampoi pada jam 2 pagi tadi, namun kedua-dua loji kini kembali beroperasi masing-masing pada jam 1.30 pagi dan 8 pagi.
Beliau berkata, sebelum itu, Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) menerima maklumat daripada Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor berhubung pencemaran sungai berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan yang disyaki berpunca daripada pelepasan premis kilang di kawasan perindustrian berdekatan pada jam 8 malam.
“Siasatan segera LUAS mendapati keadaan Sungai Batang Benar masih berbuih dan bau seakan sabun dikesan di lokasi berkenaan.
“Pemantauan statik LUAS di hilir Sungai Semenyih dan Sungai Buah mendapati keadaan normal dan tiada bau dikesan, manakala pensampelan bau dilakukan LUAS di Kampung Rinching Hilir di Sungai Semenyih juga mencatatkan kosong ton.
“Bagaimanapun berdasarkan makluman pihak Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor), pencemaran bau sehingga empat ton dikesan di muka sauk Jenderam Hilir pada jam 11 malam.
“Susulan itu, operasi LRA Semenyih terpaksa dihentikan sementara pada jam 11.15 malam tadi diikuti LRA Bukit Tampoi pada jam 2 pagi ini,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Loy Sian berkata, pemantauan statik LUAS pada jarak 1.5 kilometer dari muka sauk Jenderam Hilir dipertingkatkan kepada setiap 30 minit bagi memantau rapi status pencemaran bau berkenaan.
Menurutnya, berdasarkan pemantauan bacaan kosong ton direkodkan secara konsisten dan trend penurunan pencemaran bau di muka sauk Jenderam Hilir juga dicatatkan bermula jam 12.30 tengah malam.
“Kedua-dua LRA beroperasi semula selepas bacaan bau mencatatkan kosong ton secara konsisten dengan tiga kali pensampelan.
“Menurut pihak Air Selangor gangguan bekalan air adalah minimum dan kawasan terbabit pulih sepenuhnya pada jam 9.30 pagi,” katanya.
Mengulas lanjut, Loy Sian berkata, kejadian pelepasan air berbuih di Sungai Batang Benar, Negeri Sembilan itu disyaki berlaku awal petang kelmarin ketika hujan lebat.
“LUAS sudah berhubung dengan JAS Selangor untuk tindakan susulan siasatan selanjutnya oleh pihak JAS Negeri Sembilan berikutan lokasi insiden berada di luar kawasan negeri ini dan membabitkan kawasan perindustrian,” katanya.
Sementara itu, Loy Sian berkata, kerajaan negeri tidak akan berkompromi dengan pihak yang melakukan jenayah pencemaran sumber air dan tindakan tegas akan diambil selaras peruntukkan Enakmen LUAS 1999.
“Kerajaan Selangor dan LUAS meminta semua prihatin terhadap aktiviti yang berpotensi menyumbang kepada pencemaran sumber air negeri terutamanya, dan melaporkan sebarang aktiviti mencurigakan kepada LUAS untuk diambil tindakan segera,” katanya. – Malaysiapost

