Dua beranak dibaham buaya di Lahad Datu

0
2

SEORANG kanak-kanak lelaki dilaporkan hilang dipercayai dibaham buaya ketika mendayung perahu bersama bapanya di perairan berhampiran Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, Lahad Datu, Sabah pagi tadi.

Dalam kejadian kira-kira jam 10 pagi itu, bapa mangsa turut cedera di beberapa bahagian badan termasuk kepala selepas dipercayai cuba menyelamatkan anaknya yang dibaham buaya.

Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat Lahad Datu, berkata pihak bomba menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada jam 10.25 pagi.

“Pusat Gerakan Operasi (PGO) Sabah terima panggilan kecemasan mangsa dibaham buaya di alamat Markas Operasi Pasukan Gerakan Marin, Lahad Datu.

“Menurut saksi terdapat dua orang mangsa terlibat yang sedang menjalankan aktiviti mendayung perahu di kawasan laut dan telah disambar buaya,” katanya dalam satu kenyataan.

Menurutnya, seorang mangsa berjaya diselamatkan oleh orang awam manakala seorang lagi masih belum dijumpai.

“Mangsa yang diselamatkan dilaporkan mengalami kecederaan parah dan telah dihantar ke hospital menggunakan ambulans untuk mendapatkan rawatan selanjutnya.

“Pasukan Bomba dan Penyelamat Lahad Datu sedang menjalankan operasi mencari dan menyelamat (SAR) bersama agensi bantuan Polis Marin menggunakan bot di kawasan mangsa dilaporkan dibaham buaya,” katanya.

Beliau berkata pasukan bomba diketuai Komander Operasi Asmori Dahhiarsyaha dengan agensi lain yang terbabit adalah Polis Diraja Malaysia(PDRM), PPM dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM). – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here