Ringgit mengukuh, bursa saham meningkat petanda ekonomi positif – Fahmi

0
2

EKONOMI negara terus menunjukkan petanda pengukuhan yang semakin positif sejak seminggu lalu, selepas Datuk Seri Anwar Ibrahim dilantik Perdana Menteri ke-10.

Ketua Penerangan PKR, Fahmi Fadzil berkata ia dibuktikan lagi apabila bursa Saham berada pada paras 1,494 mata pagi ini berbanding 1,440 sehari sebelum Anwar mengangkat sumpah.

Katanya, nilai ringgit juga terus mengukuh ke RM4.413 berbanding dolar Amerika Syarikat (USD) yang sangat baik.

“InshaAllah saya percaya setelah barisan ahli Jemaah Menteri yang baru dinamakan, dan matlamat serta dasar-dasar Kerajaan Perpaduan ini diumum nanti, keadaan akan jadi semakin baik untuk rakyat Malaysia,” katanya menerusi hantaran di Facebooknya.

Terdahulu hari ini, Bernama melaporkan ringgit dibuka tinggi berbanding USD selepas mata wang Amerika Syarikat itu merosot berikutan sentimen bank pusat AS yang kurang menyokong kadar faedah tinggi, kata penganalisis.

Pada jam 9 pagi, unit tempatan meningkat kepada 4.4040/4150 berbanding USD daripada 4.4420/4500 semasa ditutup semalam.

Pada 24 November lalu, ringgit meningkat 1.8 peratus kepada paras tertinggi dalam tempoh lebih dua bulan berbanding USD sebaik pelantikan Anwar sebagai Perdana Menteri.

Ia sekali gus meredakan ketidaktentuan politik dan USD yang lemah berikutan minit Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan (FOMC).

Pada jam 6 petang 24 November, mata wang tempatan itu memperoleh 815 mata peratusan kepada 4.4910/5000 berbanding dolar AS daripada penutup sehari sebelum iaitu 4.5725/5775. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here