KKM sediakan 6,397 anggota pasukan perubatan untuk PPS – Dr Noor Hisham

0
1

KEMENTERIAN Kesihatan Malaysia (KKM) bersedia memberi perkhidmatan kesihatan terbaik kepada mangsa-mangsa banjir dan juga bagi mencegah penularan penyakit berjangkit yang boleh berlaku semasa banjir.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah, berkata beberapa siri mesyuarat kesiapsiagaan bagi menghadapi banjir telah diadakan antara Ibu Pejabat KKM dan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN).

Menurutnya, mesyuarat itu diadakan susulan surat arahan persediaan menghadapi banjir Monsun Timur Laut (MTL) yang diedarkan kepada semua Pengarah Kesihatan Negeri dan Institusi KKM sejak 21 September 2022.

Beliau berkata, situasi banjir negara sehingga 9 pagi tadi merekodkan 419 mangsa banjir yang ditempatkan di empat pusat pemindahan sementara (PPS) iaitu masing-masing dua di Selangor dan Perak.

“Menghadapi bencana banjir semasa fasa peralihan endemik Covid-19 akan memberi cabaran kepada mangsa banjir dan semua agensi tindak balas yang bertanggungjawab untuk membantu dan mengurus mangsa-mangsa banjir.

“Bagaimanapun anggota-anggota KKM telah bersedia bagi menghadapi bencana banjir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menurutnya, pasukan-pasukan KKM yang terlibat termasuklah pasukan perubatan dengan 6,397 anggota berperanan melawat dan memberi rawatan di Pusat Pemindahan Sementara (PPS).

“Pasukan kesihatan dengan 4,688 anggota melakukan pemantauan, pencegahan, dan kawalan penyakit serta pemeriksaan persekitaran di PPS.

“Pasukan Mental Health and Psychosocial Support Services (MHPSS) dengan 5,964 anggota memberikan dan menyelaraskan perkhidmatan sokongan psikososial kepada mangsa dan petugas.

“Pasukan Rapid Assessment Team (RAT) dan Rapid Response Team (RRT) dengan 1,770 anggota bertanggungjawab memberi respon bagi mencegah dan mengawal kejadian wabak semasa banjir,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata, semua JKN juga telah mengemaskini maklumat peralatan dan kenderaan serta keperluan logistik lain dan telah bersiap sedia untuk digunakan semasa banjir bagi meneruskan kesinambungan perkhidmatan kesihatan.

“Stok bekalan ubatan mencukupi di fasiliti kesihatan untuk tiga bulan dan stok tambahan tiga bulan disimpan oleh pembekal yang sentiasa bersedia untuk digunakan apabila diperlukan oleh KKM.

“Stok bekalan kit ujian RTK-Antigen Covid-19, ubatan Covid-19, dan vaksin juga mencukupi,” katanya.

Beliau berkata, fasiliti kesihatan alternatif kepada fasiliti kesihatan yang berisiko banjir juga telah dikenalpasti bagi memastikan kelangsungan perkhidmatan kesihatan kepada masyaraka. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here