MENTERI Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, mendedahkan keputusan segera membentuk kerajaan negeri bersama Pakatan Harapan (PH) adalah kerana wujud rancangan Perikatan Nasional (PN) cuba ‘mencuri’ empat Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Barisan Nasional (BN).
Beliau yang merupakan Pengerusi BN Perak, berkata pakatan yang dibuat oleh PN ternyata membuatnya kecewa kerana sudah terlebih dahulu berjumpa dengan Timbalan Presiden Bersatu, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pada 20 November lalu.
Jelas beliau, tindakan menyegerakan pembentukan kerajaan negeri itu perlu kerana tidak mahu perkara sama ketika Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) berulang di mana dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) BN iaitu Datuk Zainol Fadzi Paharudin dan Datuk Nolee Ashilin Mohamed Radzi ‘dicuri’ untuk membentuk kerajaan negeri.
“Perkara itu (cubaan curi ADUN BN) mengecewakan… saya dimaklumkan oleh seseorang yang saya percaya bahawa ada ejen PN yang menghubungi ADUN BN yang ketika itu di Hotel Impiana Ipoh.
“Mereka telah dihubungi, dipujuk, dirayu.. sekurang-kurangnya empat ADUN ini untuk meninggalkan BN untuk pergi menyokong empat kerusi PN, bagi menubuhkan kerajaan PN.. bukan kerajaan campuran,” katanya dalam video temu bual yang dimuat naik di Facebook, hari ini.
Mengulas berkenaan Akta Anti Lompat Parti, Saarani berkata undang-undang tersebut masih belum diputuskan oleh DUN Perak, dan hanya berfungsi di peringkat Persekutuan.
Beliau berkata, selepas PRU15 BN Perak menunggu tawaran yang diberikan PN bagi membentuk kerajaan gabungan, bukannya tindakan ‘tikam belakang’ dengan mencuri ADUN BN.
“Jika ini caranya mereka tidak ikhlas untuk menubuhkan kerajaan dalam BN. Sebab itu saya buat keputusan muktamad pada Isnin (20 November) saya panggil lapan ADUN kita menghadap tuanku, kita tubuh kerajaan,” ujarnya.
Saarani mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Perak, pada 21 November lalu.
BN Perak bersetuju untuk menjalin kerjasama dengan PH bagi membentuk kerajaan negeri baharu.
Gabungan BN dan PH memiliki 33 kerusi DUN iaitu majoriti mudah daripada keseluruhan 59 kerusi bagi membentuk kerajaan negeri. – Malaysiapost

