TNB siasat kejadian di Kampung Belukar

0
1

TENAGA Nasional Berhad (TNB) kini sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian kemalangan membabitkan seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia dipercayai akibat dihempap tiang elektrik di Kampung Belukar, Changlun Kedah, semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, TNB juga memaklumkan akan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan dalam siasatan kes terbabit.  

“Kami merujuk kepada laporan kemalangan melibatkan seorang kanak-kanak lelaki meninggal dunia ketika bermain di kawasan simpanan sementara tiang-tiang elektrik bagi tujuan projek di Jalan K16, Kampung Belukar, Changlun Kedah, petang Selasa.

“TNB mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa serta bersimpati dengan keluarga dua lagi kanak-kanak yang sedang menerima rawatan di Hospital Jitra.

“TNB sendiri sedang menjalankan siasatan berhubung kejadian tersebut dan bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa yang berkenaan,” menurut kenyataan itu.

Justeru, TNB mengulangi peringatannya kepada orang ramai agar tidak menghampiri tapak kerja dan menyentuh barang-barang binaan bagi mengelakkan sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

Sementara itu, TNB turut menghantar wakil menziarahi keluarga mangsa dan memberikan bantuan yang sewajarnya.

“Orang ramai juga dinasihatkan supaya tidak menyebarkan sebarang gambar atau video kejadian ini dan membuat spekulasi, sebaliknya memberi ruang kepada pihak berkuasa menjalankan siasatan.

“Di samping itu ia bagi menghormati perasaan dan sensitiviti keluarga mangsa,” katanya.

Media semalam melaporkan seorang kanak-kanak lelaki maut manakala dua rakannya tidak sedarkan diri selepas dihempap tiang elektrik ketika bermain di Jalan K16, Kampung Belukar, Changlun.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah Sayani Saidon, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada 5.33 petang.

Mangsa yang meninggal dunia berusia 10 tahun, manakala dua rakannya berusia 10 dan 11 tahun masing-masing mengalami kecederaan pada bahagian paha dan pinggang. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here