PELAKON dan pengarah, Farid Kamil Zahari terlepas hukuman penjara sembilan bulan atas kesalahan menggunakan ganja, empat tahun lalu selepas Mahkamah Rayuan hari ini membenarkan rayuannya.
Panel tiga hakim diketuai Datuk Seri Kamaludin Md Said sebulat suara mengetepikan hukuman penjara tersebut dan menggantikannya dengan denda RM5,000, lapor Utusan Malaysia.
Jika gagal membayarnya, Farid, 41, diperintah menjalani hukuman penjara enam bulan lagi.
Denda itu bagaimanapun dijelaskan oleh keluarganya yang turut hadir mengikuti prosiding tersebut termasuk isterinya, Diana Danielle dan adiknya, Fadzil Zahari.
Selain Kamaludin, yang turut bersidang, Datuk Ahmad Nasfy Yasin dan Datuk See Mee Chun turut mengekalkan perintah pengawasan selama dua tahun yang diputuskan Mahkamah Majistret.
“Farid Kamil Zahari, kamu hanya didenda RM5,000 dan dua tahun pengawasan di bawah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan jika gagal bayar denda kamu kena penjara enam bulan lagi,” katanya.
Sementara itu, Farid ketika ditemui wakil media sejurus selesai membayar denda meluahkan rasa bersyukur dengan keputusan tersebut yang disifatkan terbaik untuk dirinya.
Sambil berterima kasih kepada barisan peguam bela yang mewakilinya, Farid gembira kerana kes telah selesai di peringkat rayuan dan kini beliau boleh menumpukan perhatian kepada pengambaran filem-filem seterusnya.
“Sekarang ini saya terlibat dengan pengambaran filem berjudul ‘Anwar’ yang kini di peringkat akhir dan dijangka ditayangkan pada Februari 2023,” katanya.
Diana turut melahirkan kesyukuran dengan keputusan mahkamah yang memihak kepada suaminya serta berterima kasih kepada barisan peguam bela dan peminat yang sentiasa mendoakan mereka.
“Saya bersama Fadzil (adik Farid) lega dengan keputusan ini, ia mengambil masa yang panjang dan akhirnya keadilan memihak kepada suami saya,” katanya.
Ketika membacakan keputusan itu, Kamaludin menyatakan, majistret yang mendengar kes tersebut tidak memberikan penjelasan konkrit yang menyatakan bahawa hukuman yang dijatuhkan adalah setimpal dengan kesalahan dilakukan.
Mahkamah berpuas hati, majistret berkenaan tidak konsisten ketika memberi pertimbangan sewaktu menjatuhkan hukuman terhadap pelakon Remp-It 2 itu.
Selain itu, Kamaludin berkata, majistret tersebut tidak menimbang aspek pemberatan ketika menjatuhkan hukuman contohnya sama ada tertuduh mempunyai rekod jenayah.
“Mahkamah bergantung kepada fakta kes sama ada untuk menjatuhkan hukuman penjara atau mengenakan denda.
“Kami dapati fakta kes ini jelas dan tidak menjurus kepada kesalahan yang terlalu serius atau berat,” ujar Kamaludin.
Terdahulu, peguam Datuk Hisyam Teh Poh Teik merayu agar mahkamah mengetepikan hukuman penjara sembilan bulan yang dijatuhkan terhadap anak guamnya dan menggantikannya dengan denda RM5,000.
Pasukan pembelaan yang turut dianggotai oleh Kee Wei Lon dan Low Wei Loke berhujah bahawa kepentingan awam telah dipenuhi kerana Farid sudah menjalani hukuman penjara selama satu bulan 27 hari.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Eyu Ghim Siang berhujah agar hukuman penjara sembilan bulan dikekalkan.
Pelakon itu tidak berpuas hati dengan keputusan Mahkamah Tinggi Shah Alam pada November 2019 yang mengekalkan keputusan Mahkamah Majistret Petaling Jaya pada Mei 2019 memerintahkannya menjalani hukuman penjara sembilan bulan.
Mengikut pertuduhan, pelakon filem J Revolusi itu didakwa menggunakan dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC) pada pukul 4.30 petang, 11 Januari 2018 di Pejabat Narkotik Petaling Jaya.
Berikutan itu, Farid didakwa mengikut Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952. – Malaysiapost

