“TIDAK ada dalam pilihan raya seorang pemimpin seperti Zahid yang laungkan ‘No Anwar, No DAP’ hanya untuk pilihan raya saja, lepas pilihan raya lain,” kata Datuk Seri Saifuddin Abdullah.
Ahli Majlis Pimpinan Tinggi Bersatu itu menyelar tindakan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang didakwa melanggar prinsip parti dengan membentuk kerjasama dengan Pakatan Harapan (PH).
Katanya, sebelum ini BN khususnya, Umno, melaungkan’No PKR, No DAP, No Bersatu’, tetapi kini demi kekal kuasa politik, parti itu mengetepikan prinsip tersebut.
“Pilihan raya umum kali ini benar-benar pelik, banyak perkara tidak disangka berlaku. Ini pun tak pernah berlaku, ada orang berkempen dalam pilihan raya maki orang bagai nak rak, lepas pilihan raya pergi peluk orang itu bagai nak rak.
“Jadi kalaulah sebelum pilihan raya macam itu, selepas pilihan raya macam lain. Jadi esok dia cakap macam itu, lusa dia cakap lain lah agaknya. Sebelum dilantik dalam Kabinet lain, lepas dilantik lain,” katanya dalam ceramah di Rompin malam tadi.
Beliau berkata, walaupun menyedari bahawa apa yang dilakukan Ahmad Zahid itu adalah strategi menghadapi PRU15, beliau tetap beranggapan tindakan BN itu seolah-olah langsung tidak berpegang kepada prinsip dan nilai dalam sebuah perjuangan.
“Kita dalam Perikatan Nasional (PN) takkan sanggup sampai menjual maruah semurah itu, kita tak sanggup buat sebab itu bila kita kata tiada PH, memang tiada PH. Bila kita kata tidak mahu membentuk kerajaan dengan PH, kita tak kerjasama dengan PH,” katanya.
Sehubungan itu, Saifuddin menegaskan, PN kekal berpegang kepada pendirian parti dan sanggup jadi pembangkang yang bermaruah daripada mengemis kuasa bersama dengan PH.
“Itu baru perjuangan, kalau hari ini maki PH, biarlah kita ni berpegang kepada sesuatu prinsip dan nilai.
“Jangan kita terlalu mudah demi untuk jadi Perdana Menteri, Menteri Besar, Menteri, demi untuk jadi EXCO, maka kita boleh jual maruah kita dengan semurah dan semudah itu. Kita ada ada prinsip dan kita ada nilai,” katanya.
Semalam, Ahmad Zahid berkata, prinsip menolak sebarang kerjasama dengan PKR, DAP dan Bersatu adalah hanya untuk berdepan PRU15, dan bukannya selepas pilihan raya umum itu. – Malaysiapost

