Fitnah Chew Mei Fun, 2 pemimpin DAP diperintah bayar RM350,000

0
2

MAHKAMAH Tinggi Shah Alam hari ini mengarahkan bekas Ahli Parlimen Damansara, Tony Pua dan Ahli Parlimen Puchong Yeo Bee Yin, membayar ganti rugi RM350,000 kerana memfitnah Datin Paduka Chew Mei Fun.

Mereka didakwa memfitnah bekas Timbalan Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat itu berhubung dakwaan meluluskan penjualan tanah pada nilai rendah kepada MCA.

Hakim Roslan Abu Bakar, berkata Mei Fun yang juga bekas Setiausaha Agung MCA, telah membuktikan kesnya terhadap dua pemimpin DAP itu berdasarkan imbangan kebarangkalian.

Mei Fun telah menyaman Pua berhubung artikel diterbitkan dalam Malay Mail dan Nanyang Siang Pau serta di FMT, pada September 2017.

Bee Yin juga disaman berhubung video yang diterbitkan di Facebook dan Nanyang Sian Pau, pada bulan sama.

Pua dan Bee Yin mendakwa Mei Fun yang menganggotai jawatankuasa tanah daerah, telah meluluskan penjualan sebidang tanah kepada MCA Selangor di bawah harga pasaran.

Dalam keputusannya, Roslan berkata, kedua-dua penerbitan itu memfitnah Mei Fun dan pembelaan justifikasi, komen adil dan keistimewaan Reynolds yang dibangkitkan oleh kedua-duanya telah gagal.

Pua dan Bee Yin diperintahkan membayar Mei Fun masing-masing RM200,000 dan RM150,000, sebagai ganti rugi.

Mei Fun, yang diwakili Rueben Mathiavaranam, turut dianugerahkan RM50,000 sebagai kos yang perlu dibayar oleh defendan.

Pua dan Bee Yin diwakili Syahredzan Johan.

Mei Fun memfailkan saman itu, pada Mac 2018.

Ketika kenyataan itu dibuat, Pua merupakan Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, manakala Bee Yin Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Damansara Utama.

Mereka mendakwa, Chew menyalahgunakan kuasanya dan meletakkan dirinya dalam kedudukan konflik berkepentingan.

Bagaimanapun, Mei Fun berkata, beliau tidak menganggotai jawatankuasa tanah kerana perkara melibatkan tanah adalah di luar bidang kuasanya.

Beliau juga berkata, Bee Yin mendakwa tanah berkenaan digunakan oleh penduduk setinggan bagi penanaman buah naga pada masa ia dijual kepada MCA. – Malaysiapost

Kredit Foto: Laman rasmi MCA

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here