Kerajaan Zina: Dr Afif tidak faham batas kebebasan bersuara – Faiz Fadzil

0
2
https://www.facebook.com/photo.php?fbid=652632632896122&set=pb.100044481740645.-2207520000.&type=3

AHLI Majlis Pimpinan Amanah, Faiz Fadzil menyifatkan Ketua Bersatu Shah Alam, Dr Afif Bahardin tidak faham batas kebebasan bersuara yang dibenarkan undang-undang di negara ini.

Beliau berkata demikian susulan tindakan Dr Afif yang mendakwa Pakatan Harapan (PH) hipokrit kerana menggesa polis mengambil tindakan terhadap kenyataan calon Perikatan Nasional (PN) Padang Serai, Azman Nasrudin yang menuduh Kerajaan Perpaduan sebagai ‘kerajaan zina’

Katanya, hak dan kebebasan rakyat negara ini dipandu oleh Perlembagaan Persekutuan termasuk mengikut Perkara 10 (2) (a) menyatakan kebebasan bersuara bergantung kepada undang-undang.

“Pelbagai undang-undang statut digubal yang mengawal kebebasan bersuara ini demi menjaga keharmonian negara termasuk undang-undang fitnah di bawah Kanun Jenayah, hasutan di bawah Akta Hasutan.

“(Sementara) perkataan yang tidak menjelikkan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia dan ketenteraman awam dan hubungan agama di bawah Kanun Jenayah,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Dalam pada itu, Faiz berkata, tindakan Dr Afif menuduh PH hipokrit itu hakikatnya membuktikan PN adalah parti yang mengamalkan budaya politik fitnah.

Beliau berkata, PN dianggotai PAS dan Bersatu kini sedang giat membawa budaya politik fitnah di mana pimpinan utama PN gabungan itu juga terlibat.

“Ia termasuk Presiden PAS, Tan Sri Hadi Awang memfitnah PM ejen Israel dan PH membawa agenda komunis dan Tan Sri Muhyiddin Yassin menuduh PH membawa agenda Kristian.

“Maka, apa yang difitnah Azman bukan suatu yang pelik kerana kepala partinya juga begitu, ibarat ketam mengajar anaknya berjalan betul,” katanya.

Beliau berkata, walaupun PH memberi kebebasan untuk bersuara, tetapi pandangan hendaklah tidak terkeluar dari perimeter undang-undang iaitu berasaskan fakta betul supaya bertepatan dengan doktrin justifikasi atau komen yang adil dan berpatutan.

“Tetapi sekiranya pandangan itu tidak berasaskan kepada fakta yang betul, ianya satu fitnah dan sudah pasti tertakluk kepada implikasi undang-undang.

“Menggunakan perkataan zina seolah-olah menuduh Kerajaan Perpaduan ini sebuah kerajaan haram, sedangkan perlantikan Anwar dibuat mengikut Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan.

“Di mana Yang di-Pertuan Agong percaya dengan sokongan majoriti Ahli Dewan Rakyat kepada Anwar Ibrahim. Jadi, di mana haramnya kerajaan perpaduan ini,” katanya.

Beliau menegaskan PH konsisten dengan agenda perjuangan untuk mengangkat kebebasan bersuara, tetapi sesuatu pandangan itu mestilah berasaskan kepada fakta yang betul supaya keharmonian dapat dipelihara.

Dalam pada itu, Fahmi mempersoalkan dakwaan fitnah berkaitan ejen Israel, agenda komunis dan kristian yang dinyatakan pemimpin PN berasaskan fakta betul.

Semalam, Dr Afif membidas Pengarah Komunikasi PKR, Fahmi Fadzil yang menggesa polis mengambil tindakan terhadap Azman kerana mengatakan kerajaan baru seperti ‘kerajaan zina’.

Jelas Dr Afif, ugutan PH untuk mengambil tindakan polis berhubung kenyataan Azman bertentangan sama sekali dengan janji yang berulang kali dinyatakan PH untuk mempertahankan kebebasan bersuara. – Malaysiapost

Kredit Foto: Facebook Faiz Fadzil

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here