Amanah buat laporan polis hantaran kebencian agama, kaum di media sosial 

0
2

POLIS perlu segera mengambil tindakan terhadap pihak yang mencetuskan api perkauman menerusi media sosial sehingga boleh menggugat ketenteraman awam.

Pengarah Mobilisasi Parti Amanah, Mohd Sany Hamzan berkata, pihaknya mengesan beberapa hantaran dimuat naik di laman sosial baru-baru ini terutamanya ketika kempen Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), yang menyebarkan isu serta percakapan berbaur kebencian dan perkauman di negara ini.

“Perkongsian di media sosial ini disifatkan sebagai menyentuh isu perkauman dan cubaan untuk menyemai kebencian dalam kalangan rakyat negara ini yang terdiri daripada pelbagai kaum. Jika dibiarkan boleh membawa kepada perpecahan.

“Sebab itu saya meminta Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim agar ambil tindakan tegas dan segera.

“(Ini) kerana doktrin-doktrin agama yang dimainkan oleh pelampau agama dalam PRU15 serta isu perkauman ini dibimbangi boleh menghancurkan negara dengan memesong pemikiran anak-anak muda,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada media selepas membuat laporan di Ibu Pejabat Polis Daerah Dang Wangi, Kuala Lumpur, hari ini.

Justeru, Mohd Sany yang juga Ahli Parlimen Hulu Langat menggesa pihak polis melakukan siasatan dengan seadilnya sekali gus mendakwa mereka yang memuat naik kandungan berbaur sentimen perkauman serta agama. – Malaysiapost

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here