Jangan bawa, kibar bendera politik pada final Piala Malaysia

0
3

PENYOKONG dilarang membawa masuk dan mengibar bendera berunsurkan politik pada perlawanan akhir Piala Malaysia 2022 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Selangor FC di Stadium Nasional di Bukit Jalil di sini, malam esok.

Timbalan Pengerusi Jawatankuasa Keselamatan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), ACP (B) Md Dali Wahid berkata tindakan tegas akan diambil kepada mana-mana penyokong yang didapati berbuat demikian.

Beliau menegaskan aksi final di stadium bukanlah tempat untuk meraikan atau menunjuk rasa tidak puas hati mengenai perkara berkaitan politik.

“Mungkin kita masih teringat apa yang berlaku dalam negara ketika ini. Bendera melibatkan politik mungkin boleh buat orang di luar rasa tidak puas hati.

“Jadi, jangan bawa masuk ke dalam stadium (apa-apa barangan) yang boleh cetuskan provokasi dan menggugat keamanan negara,” katanya hari ini.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras, ACP Zam Halim Jamaluddin menjangkakan 80,000 penyokong membanjiri Stadium Nasional sebaik pintu masuk dibuka 5 petang.

“Sebagai langkah keselamatan, pemeriksaan tubuh badan, beg serta barangan akan dilakukan di setiap pintu masuk dan juga selepas memasuki pekarangan stadium,” katanya.

Selain itu, beliau berkata terdapat beberapa penutupan jalan di sekitar Stadium Nasional sebelum dan selepas perlawanan, antaranya sepanjang Jalan Barat bermula dari persimpangan Taman Teknologi Malaysia (TPM) hingga Persimpangan Merah Caga.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan penyokong menggunakan pengangkutan awam. – Malaysiapost

Kredit Foto Bernama

LEAVE A REPLY

Please enter your comment!
Please enter your name here