KERAJAAN Selangor mengumumkan Bantuan Khas Kewangan (BKK) sebanyak dua bulan setengah gaji kepada semua penjawat awam negeri itu.
Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari, berkata bantuan khas berkenaan adalah untuk menghargai khidmat cemerlang serta
komitmen penjawat awam dalam memastikan perkhidmatan kerajaan negeri kekal berkesan.
“BKK kali pertama iaitu satu bulan gaji atau minimum RM1,000 sudah dilaksanakan menerusi Insentif Khas Rahmah Ramadan 2022 sempena Aidilfitri 1443H/ 2022.
“BKK kali kedua pula akan dibayar pada 29 Disember depan iaitu sebanyak satu bulan gaji atau minimum RM1,000 dengan anggaran
implikasi kewangan sebanyak RM37.63 juta.
“Bayaran kali ketiga sebanyak setengah bulan gaji atau minimum RM1,000 akan dibayar pada Februari 2023,” katanya pada
pembentangan Belanjawan Selangor 2023, hari ini.
Jelas beliau, pemberian BKK ini dilaksanakan berdasarkan terma dan syarat anggota yang berkelayakan dalam garis panduan pemberian
Bantuan Khas Kewangan yang akan dikeluarkan oleh Bahagian Pembangunan Sumber Manusia (BPSM). – Malaysiapost

