SETIAP rakyat perlu menyokong penuh konsep Perpaduan Nasional untuk membuktikan kepada dunia bahawa Malaysia mampu bersatu mendepani cabaran global pada masa akan datang.
Justeru, Pengarah Komunikasi Pemuda Umno, Syed Mohd Johan Rizal Syed Unan Mashri, meminta semua tidak lagi bermain politik dan mempersiapsiagakan Malaysia untuk masa depan yang lebih baik.
“Kini adalah masa untuk kita bekerja keras memastikan Malaysia teguh dan kembali garang di pentas dunia.
“Kita bersama Perpaduan Nasional demi Malaysia yang tercinta,” katanya yang turut menzahirkan ucapan tahniah kepada Datuk Seri Anwar Ibrahim yang dilantik sebagai Perdana Menteri ke-10.
Johan Rizal berkata, ikrar Perdana Menteri baharu untuk terus mempertahankan Perlembagaan Persekutuan termasuk agama Islam dan hak istimewa orang Melayu juga perlu disokong seluruh warga Malaysia.
“Sebenarnya, inilah aspirasi perpaduan yang menjadi dokongan penting pentadbiran Kerajaan Barisan Nasional (BN) sejak awal Merdeka, dan menjadi ramuan penting membangunkan negara bangsa,” katanya.
Menurutnya, Malaysia tidak boleh menerima sebarang unsur ekstremisme atau cauvinisme yang mampu mengganggu gugat keharmonian masyarakat majmuk di negara ini. – Malaysiapost

